Wednesday 31 October 2012

Assignment strategi pembelajaran (belum siap)


1.0 Pengenalan

Demi mempersiapkan diri sebagai “manusia”, manusia harus melalui proses pembelajaran. Berbeza dengan haiwan, manusia perlu menjalani proses pembelajaran untuk mencapai ke arah tersebut. Haiwan adalah sebaliknya, ketika ia dilahirkan ia sudah dilengkapi dengan kepandaian-kepandaian untuk hidup. Itik sebagai contoh apabila baru menetas dari telur, setelah beberapa waktu, tanpa perlu belajar lagi, akan sudah mampu untuk berenang.

Demikian juga pada anak-anak burung, tanpa perlu belajar mereka kemudian akan mampu untuk terbang. Anak burung ini juga tahu apa yang harus mereka makan dan apa yang harus mereka tolak jika diberikan makanan yang bukan makanan burung. Keadaan ini berbeza dan berlainan daripada kehidupan manusia. Manusia lahir sebelum mampu untuk berbuat banyak perkara. Manusia perlu belajar untuk berjalan, perlu belajar untuk makan, perlu belajar untuk mengenal perkara baik dan buruk dan sebagainya. Oleh kerana itulah, manusia boleh dapat dianggap sebagai mahkluk yang akan sentiasa berkembang oleh kerana perlunya manusia kepada proses pembelajaran ini.   Haiwan pula akibat daripada kejadiannya yang sudah dipersiapkan oleh alam, akan jauh ketinggalan di belakang kewujudan manusia.

Oleh yang demikian, kehidupan manusia dapat didefinisikan sebagai satu proses perubahan yang berterusan. Daripada bayi, ke dewasa dan seterusnya sehingga ke akhir hayat manusia akan sentiasa berubah hasil daripada pelbagai faktor antaranya seperti yang dinyatakan di atas iaitu faktor pembelajaran. Dengan pembelajaran, manusia mampu mendapatkan autonomi terhadap dirinya sekaligus mampu memiliki autoriti terhadap alam supaya dapat dikawal dibawah pemikirannya.

2.0 Konsep pembelajaran

Pembelajaran dapat didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku kesan daripada pengalaman seseorang manusia. Menurut pendapat John Lockes pula, beliau menegaskan bahawa minda manusia hanya mampu memiliki ilmu pengetahuan hasil daripada pancaindera  yang seterusnya akan dicetak didalam minda manusia yang sebelum ini umpama sekeping kertas yang tidak mempunyai apa-apa tulisan diatasnya atau apa yang beliau gelarkan sebagai “tabula rasa”.

Oleh yang demikian dapat dirumuskan bahawa pembelajaran amat berkait rapat kepada pengalaman dan pancaindera. Keduanya saling berhubung untuk membolehkan manusia mengalami suatu proses perubahan tingkah laku dan demi mendapatkan proses perubahan daripada “ke-tidak-sedaran” manusia  menuju kepada “kesedaran”.  Sebagai contoh, seorang pelajar yang mengikuti sistem berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata mungkin akan menggunakan segenap pancainderanya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang didalam peperiksaan. Sekiranya pelajar tersebut rajin dan fokus didalam pembelajarannya, maka pasti ia berjaya melakukannya.

Di sini ternyata pembelajaran yang dilakukan mampu untuk mendapatkan perubahan tingkahlaku kepada pelajar tersebut iaitu daripada “tidak-tahu” kepada “tahu”. Namun akibat kurangnya diberikan pendedahan kepada dunia realiti sebenar (pengalaman),  mungkin pelajar  tersebut akhirnya setelah mendapatkan ijazahnya akan terus melanjutkan hidupnya didalam dunia pekerjaan tanpa menghiraukan sifat kemanusiaan yang ada pada dirinya untuk memikirkan tentang hal kemanusiaan.

Pelajar ini yang kurang diberikan pendedahan yang memberangsangkan tentang hal kemanusiaan boleh dikatakan sebagai contoh pelajar yang tidak mengalami proses menuju kepada “kesedaran” yang sepatutnya turut dijadikan sebagai aspek penting dalam pembelajaran. Di dalam buku Siddharta karya Herman Hesse ada menyebutkan bahawa Ilmu pengetahuan dapat diajarkan, tetapi kebijaksanaan adalah tidak. Kebijaksanaan hanya datang daripada pengalaman.

Oleh kerana itu, demi menghuraikan konsep pembelajaran secara mendalam, kebanyakan ahli psikologi telah membezakan pembelajaran kepada dua kategori yang luas iaitu pembelajaran kognitif-persepsi dan pembelajaran tingkah laku.

·         Pembelajaran kognitif-persepsi
Didalam pembelajaran kategori ini ia melibatkan proses pembelajaran yang bergantung kepada operasi mental. Antaranya seperti pembelajaran yang menggunakan pendekatan berfikir secara mendalam dalam menyelesaikan masalah dan pencarian pelbagai sumber maklumat untuk memahami serta mendapatkan sesuatu ilmu pengetahuan.

·         Pembelajaran tingkah laku
Ia bermaksud perubahan tingkah laku yang tahan lama disebabkan oleh pengalaman lampau yang dialami oleh setiap manusia. Akibat daripada pengalaman yang berlaku ke atas seseorang itu, manusia memperolehi maklumat, celik akal, kemahiran, kebiasaan dan seumpamanya (perubahan tingkah laku). Setiap pengalaman baru yang dialami, manusia akan mampu bertindak dalam cara yang berbeza berbanding sebelumnya.

3.0 Teori pembelajaran dalam perlaksanaan pengajaran

Teori diibaratkan sebagai tulang belakang kepada segala usaha pencarian oleh para pengkaji demi mendapatkan maklumat terhadap sesebuah kajian. Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 pula, teori didefinisikan sebagai sebuah pendapat yang masih bersifat andaian yang dikemukakan untuk menerangkan sesuatu perkara. Oleh yang demikian, penggunaan teori tidak terhad kepada para pengkaji semata-mata. Sebaliknya, dalam tidak sedar, setiap manusia telah mengaplikasikan teori dalam kehidupan seharian bagi berusaha memahami dan menyelami diri dan tingkah laku orang lain.

Di dalam pembelajaran, guru memainkan peranan penting bagi memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi tugas ini, pengajar atau guru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga perlu menciptakan pengajaran yang berkesan. Maka di sini lah perlunya peranan guru untuk memikirkan sebuah bentuk teori pembelajaran yang sesuai bagi memudahkan pembelajaran tersebut.

Teori pembelajaran dapat didefinisikan sebagai penjelasan tentang proses, prinsip dan hukum pembelajaran yang dihasilkan melalui kajian saintifik. Melalui teori pembelajaran ini, ia berperanan untuk menjelaskan bagaimana konsep pembelajaran dapat dilakukan dan juga dapat dijadikan asas pembentukan strategi pengajaran untuk diaplikasikan oleh para pendidik dan juga guru.

Mengikut sejarah, kajian tentang teori pembelajaran telah dihuraikan secara mendalam sejak kurun ke-18 lagi. Kajian ini telah diusahakan oleh pelbagai pelopor yang terdiri daripada pelbagai ahli psikologi dan juga ahli falsafah. Teori pembelajaran tersebut akhirnya telah dipecahkan kepada pelbagai mazhab atau aliran dan seterusnya dijadikan sebagai rujukan utama oleh para pendidik dan guru dalam melaksanakan usaha pengajaran.

Antara persamaan yang dihasilkan oleh ahli psikologi dan juga ahli falsafah terhadap teori yang dicipta adalah setiap kajian tersebut memiliki penjelasan tentang proses yang dilakukan, prinsip dan juga hukum pembelajaran dalam usaha merangka teori pembelajaran. Berikut adalah beberapa mazhab teori pembelajaran yang terkenal dan sering digunapakai hampir di seluruh dunia.

3.1 Teori Behaviouris

Pendekatan jenis ini juga dikenali sebagai kefahaman terhadap tingkah laku. Pendekatan ini menekankan kepada tingkah laku yang boleh diperhati dan diukur terhadap objek kajiannya iaitu manusia. Ini juga bererti bahawa pendekatan jenis ini menolak kajian terhadap proses mental manusia sebaliknya kajian dilakukan hanya terbatas kepada pengamatan tingkah laku.

Tegasnya, pendekatan ini menekankan peranan persekitaran sebagai penentu kepada tingkahlaku manusia. Berbeza dengan aliran lain yang akan dibincangkan dibawah, behaviourisme menyatakan bahawa proses mental tidak boleh dikaji secara saintifik kerana ianya tidak dapat dilihat, diukur dan bersifat relatif. Oleh yang demikian, usaha untuk mengkaji mental secara objektif adalah mustahil. Oleh kerana itulah, tumpuan pengajaran harus diberikan sepenuhnya kepada tingkah laku yang dapat diperhatikan.

Disebabkan teori behaviouris telah menyingkirkan aspek proses mental dalam perlaksanaan teori pembelajarannya, maka ada beberapa pendapat mengatakan bahawa teori behaviouris adalah “ilmu jiwa tanpa jiwa”. Ini kerana teori ini telah menyingkirkan sisi psikologi manusia yang kompleks dan sebaliknya hanya berpandukan kepada tingkah laku manusia yang berbeza-beza mengikut lingkungan budayanya.

Ini juga dapat dibuktikan apabila kebanyakan pelopor teori ini telah mencipta teori behaviouris berdasarkan pemerhatian mereka terhadap binatang seperti anjing, tikus, burung dan kucing. Berdasarkan pemerhatian ini pula, pelopor ini cuba menyerapkan ia kepada tingkahlaku manusia untuk dijadikan bahan kajian saintifiknya. Ternyata ia memiliki falasi yang jelas bermula sejak awal lagi. Oleh kerana itulah, kebanyakkan penganut teori ini kini tidak lagi mengambil pandangan ekstrim behaviourisme yang menafikan sisi psikologi manusia, sebaliknya mereka juga telah memberi pertimbangan terhadap proses mental yang menyumbang kepada perubahan tingkah laku.

Antara tokoh yang melibatkan diri dalam kajian terhadap teori behaviourisme adalah seperti Ivan Pavlov (1849 – 1936), John B. Watson (1878 – 1958), B. F. Skinner (1904 – 1990), dan Edward L. Thorndike ( 1874 – 1949).

3.2 Teori Kognitivis

Bagi bertindakbalas terhadap pendekatan behaviourisme yang terlalu ketat, pendekatan kognitif telah tumbuh dan berkembang bagi menjadi anti-tesis terhadap pendekatan seperti itu.  Bagi ahli psikologi kognitif, mereka melihat manusia bukan sebagai penerima pasif rangsangan daripada persekitaran, sebaliknya manusia adalah aktif dalam mencari pengalaman, mengubah dan membentuk pengalaman, dan menggunakan proses mental untuk mengubah maklumat berdasarkan kepada perkembangan kognitif.

Dengan demikian, teori pembelajaran kognitif telah menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai kebolehan kognitif yang mampu untuk mengelola, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalamannya. Berbeza daripada pendekatan behaviourisme yang menitikberatkan tingkahlaku dalam kajian mereka terhadap manusia dalam proses pembelajaran, teori kognitif pula menitikberatkan perubahan dalaman proses mental yang digunakan oleh individu untuk memaknakan dunianya. Ini bererti bahawa pembelajaran adalah bermula daripada perubahan struktur mental seseorang yang membolehkannya untuk menunjukkan perubahan dalam tingkahlakunya.

Oleh kerana pendekatan kognitif menekankan kepada proses mental dalaman. Maklumat yang diterima oleh seseorang individu akan diproses terlebih dahulu dengan melalui proses pemilihan, perbandingan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada didalam ingatan. Penyatuan maklumat yang baru ini pula akan berlanjutan sehingga seterusnya sehingga berjaya mengubah tingkahlaku manusia daripada “tidak-tahu” kepada “tahu”.

Inilah yang dimaksudkan oleh ahli psikologi yang menekankan bahawa manusia bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif seperti yang ditekankan oleh penganut teori behaviourisme. Ringkasnya, teori kognitif adalah teori yang berkonsepkan kepada tindakan proses mental seperti mengingat, membuat keputusan dan memproses informasi dalam mempengaruhi perkembangan manusia.

Antara tokoh yang terlibat dalam kajian terhadap teori kognitif ini adalah Jean Piaget (1896 – 1980), Jerome Bruner (1915 - ), dan David Ausubel (1918 – 2008).

4.0 Model teori pembelajaran

Seperti yang telah dinyatakan bahawa ahli psikologi telah mengkategorikan pembelajaran kepada 2 kategori iaitu pembelajaran tingkahlaku (behaviourisme) dan juga pembelajaran kognitif.

Hasil daripada kategori pembelajaran ini pula, ahli psikologi yang terbabit telah merangka teori pembelajaran bagi menjelaskan kajiannya secara saintifik terhadap kedua kategori pembelajaran tersebut.

Bagi memperincikan lagi teori pembelajaran tersebut agar mudah diaplikasikan oleh para pendidik dan guru di seluruh dunia, maka telah diwujudkan beberapa model teori pembelajaran seperti yang dinyatakan dibawah.

4.1 Model teori behaviourisme

·         Kontiguiti
Kontiguiti adalah proses pembelajaran melalui perkaitan mudah iaitu hasil daripada perpasangan berulang. Teori Kontiguiti menyatakan “Apabila dua peristiwa berlaku serentak beberapa kali, dua peristiwa ini akan berkait ; dan apabila satu daripada peristiwa ini berlaku, peristiwa kedua akan diingati.”

Contohnya aktiviti didalam kelas yang memaparkan seorang guru yang menunjukkan lukisan ayam di papan tanda semasa mengajar. Kemudian guru tersebut meminta seorang pelajarnya untuk menunjukkan kepada beliau bagaimana anak murid itu melukis lakaran ayam tersebut. Pelajar tersebut melihat lukisan ayam di papan tanda dan seterusnya melakarkan lukisan ayam itu di helaian kertasnya.

Kemudian apabila guru tersebut meminta pelajar yang sama untuk melukis lakaran ayam di pada hari yang lain, maka dengan mudahnya anak murid tersebut melakar lukisan ayam tersebut tanpa perlu melihat ayam di papan tanda seperti yang ditunjukkan oleh guru pada hari sebelumnya.

Oleh kerana model ini berjalan atas perkaitan yang mudah iaitu hasil daripada perpasangan yang berulang. Maka model kontiguiti ini hanya sesuai untuk pembelajaran fakta seperti mengingati nama, tahun, sifir dan lain-lain. Bagi kemahiran yang kompleks seperti pencarian makna dan sebagainya adalah tidak sesuai mengikuti model ini.

·         Pelaziman Klasik

Menurut teori ini, pembelajaran merupakan tindak balas manusia secara psikologi dan emosi terhadap persekitarannya. Sebagai contoh, seorang pelajar yang diminta untuk membuat persembahan di dalam kelas, pelajar tersebut telah berasa gugup biarpun beliau hanya perlu melakukan persembahan kepada kanak-kanak tadika sahaja.

Hal ini berlaku kerana pelajar tersebut telah mengaitkan persembahan yang sedang beliau lakukan itu dengan pengalaman lampau di mana beliau telah mengalami peristiwa memalukan apabila telah melakukan kesilapan di hadapan rakan-rakannya sendiri. Peristiwa ini telah menghantui beliau sehingga menjadi suatu kelaziman untuk berasa gugup apabila melakukan persembahan di hadapan orang lain.

Oleh kerana pelaziman klasik melibatkan pembelajaran tindak balas manusia secara psikologi dan emosi terhadap persekitaran, maka teori ini juga turut berfungsi bagi menjelaskan pembelajaran emosi.

·         Pelaziman Operan

Ia juga turut dikenali sebagai pembelajaran cuba dan jaya (trial and error learning). Menurut pelaziman operan, prinsip asas pembelajaran diwujudkan daripada pengaruh ganjaran dan denda. Ia juga berdasarkan kepercayaan bahawa setiap manusia akan membuat sesuatu apabila ia membawa kepada keseronokan / kebahagiaan dan sebaliknya akan meninggalkan sesuatu perbuatan sekiranya ia membawa kesakitan atau membahayakan diri.

Ini bererti ganjaran akan mendorong manusia mengulangi sesuatu gerak balas manakala denda pula boleh menyekat manusia daripada melakukan sesuatu gerak balas yang bertentangan. Oleh yang demikian, pelaziman operan adalah sebuah teori yang menjelaskan bahawa pembelajaran sebagai tingkah laku yang terhasil daripada kesan tingkah laku iaitu bersumberkan denda dan ganjaran.

Oleh kerana pelaziman operan berkait rapat dengan denda dan ganjaran maka ia amat bersesuaian dengan mentaliti kaum kapitalis yang bertujuan bagi mengaut keuntungan. Sebagai contoh ; Anak murid belajar bersungguh-sungguh jika dijanjikan akan diberi hadiah adalah sama seperti buruh yang akan bekerja bersungguh-sungguh jika dijanjikan untuk diberikan gaji.

4.2 Model teori kognitif

·         Teori Gestalt
Gestalt pada asasnya merujuk kepada satu pola, bentuk atau konfigurasi yang diteliti serta diamati oleh seseorang secara keseluruhan. Teori ini memberi penekanan kepada makna individu itu sendiri dan bagaimana individu itu melakukan pengamatan dan persepsi serta kemahiran dan pengetahuan terhadap pengalaman mereka sendiri.

Menurut Gestalt lagi, seseorang itu mengalami masalah sekiranya masih belum melengkapkan persepsinya atau gagal mempunyai kesedaran untuk membolehkannya merasai sesuatu pengalaman. Oleh kerana itulah, teori Gestalt mengatakan pembelajaran adalah berlaku secara celik akal. Disinilah bermulanya peranan guru bagi membantu para pelajar untuk memperolehi celik akal tersebut.

Antaranya adalah seperti melatih para pelajar untuk melihat sesuatu permasalahan secara keseluruhan sebelum memahaminya secara terperinci. Ini kerana didalam teori Gestalt, pembelajaran akan dilakukan secara bentuk (patterns), dan bukan bahagian-bahagian. Hal ini dilakukan bagi melatih para pelajar untuk mengalami sendiri kefahaman secara individu terhadap objek pemerhatiannya sekaligus meransang pemikiran pelajar dalam proses pembelajaran.















              



















      

No comments:

Post a Comment