Tuesday 23 October 2012

Assignment Falsafah Pendidikan Incomplete (Semester 1)


1.0  Pengenalan

Suatu ilmu falsafah boleh dikatakan sama seperti suatu ilmu seorang detektif. Ibarat seorang detektif yang bertugas untuk menyelesaikan suatu kes pembunuhan, detektif tersebut akan berfikir secara mendalam tentang kes yang berlaku dihadapannya. Persoalan tentang mengapa mangsa dibunuh, senjata apakah yang digunakan untuk membunuh, malahan sehingga maklumat yang melampaui ruang lingkup kes pembunuhan seperti siapakah adik beradik mangsa yang dibunuh pun ingin diketahui maklumatnya oleh seorang detektif bagi menemui jalan penyelesaian kepada kesnya.

Ini menunjukkan ilmu falsafah boleh dikatakan tidak asing lagi bagi seorang manusia asalkan dalam diri manusia itu terbit rasa ingin tahu secara mendalam. Bagi ahli falsafah Yunani yang telah hidup lebih dua ribu tahun dahulu, mereka percaya bahawa apa yang dikatakan sebagai falsafah adalah ialah ia bermula daripada perasaan ingin tahu. (Gaarder, 2006). Perasaan ingin tahu inilah yang menjadikan apa yang terdapat di alam ini sentiasa berkembang dan berevolusi mengikut prosesnya. Antaranya seperti ilmu pengetahuan, di mana pada zaman dahulu majoriti manusia mempercayai bahawa mataharilah yang mengelilingi bumi, namun atas usaha ingin tahu secara mendalam oleh Nicolous Copernicus pengetahuan itu berjaya dijungkirbalikkan sehingga dikatakan bahawa pemikiran beliau menjadi antara salah satu pemikiran revolusi teragung di dunia. (R.M. Affandi, 1979).

Begitu juga dalam hal kepercayaan, Rene Descartes, seorang ahli falsafah rasionalisme telah mencipta semboyannya yang mahsyur iaitu “Cogito ergo sum” atau “Aku berfikir maka aku Ada” agar manusia sentiasa meragukan kemampuannya dalam memperolehi pengetahuan. Ini kerana kebiasaannya manusia akan mempercayai segala yang wujud adalah melalui pancaindera semata-mata. Descartes telah mencipta suatu teori yang dinamakan teori ragu (doubt) ini supaya manusia tidak tertipu dengan data lahiriah. (Woods, 2006). Dan ini dapat dibuktikan apabila objek yang dipandang oleh kita sebenarnya tidak berdiri secara sendiri sebaliknya terdiri daripada ribuan atom yang tidak terlihat melalui mata kita. Teori ini diperkukuhkan lagi oleh hukum Dalton yang menjelaskan atom tersebut secara terperinci.

1.1 Gambarajah yang memaparkan bahawa penglihatan melalui pancaindera terhadap air itu bukanlah realiti sebaliknya ia terdiri daripada 2 jenis atom iaitu hidrogen dan oksigen.

Dari hari ke hari “Ding an sich” akan menjadi “Ding fur urns”, benda yang sendirinya kita tidak ketahui dari hari ke hari akan menjadi objek (tahu) bagi kita. (Tan Malaka, 1945). Semua ini berlaku atas perasaan ingin tahu manusia iaitu dengan cara berfalsafah.

2.0  Sejarah dan definisi falsafah.

Sejarah bermulanya falsafah dikatakan telah wujud 600 tahun sebelum lahirnya Nabi Isa A.S. Secara umumnya sejarah falsafah boleh ditakrifkan melalui zaman pra-Socrates dan juga pasca-Socrates. (Fuad Hassan, 1996). Bagi zaman pra-Socrates, ia ditandai oleh pencarian seorang ahli falsafah itu tentang hal alamiah seperti kewujudan Tuhan, gejala kosmik dan sebagainya. Tokoh yang terkenal pada zaman tersebut adalah seperti Thales, Anaxagoras, dan Xenophanes. Mereka boleh dikatakan sebagai pemikir idealis kerana ruang pemikirannya yang melangit dan tidak menyentuh kehidupan manusia secara praktikal.

Berbeza pula dengan Socrates, dengan semboyannya yang terkenal iaitu “Gnothi seauton!”, ia seolah-olah mahu membumikan semula persoalan falsafah agar dapat berhubung dengan kehidupan pelaku di dunia ini iaitu manusia. Ini juga berkait rapat dengan latarbelakang Athens pada masa itu yang telah menjadi pusat budaya Yunani dan seterusnya menuntut agar ahli falsafah pada zaman itu menitikberatkan manusia supaya demokrasi di Athens dapat berfungsi. Socrates adalah seorang ahli falsafah yang unik, dimana teknik berfalsafahnya bukan dalam bentuk mengajar sebaliknya dia cenderung berkelakuan seperti ingin belajar daripada orang yang ditemuinya. Jadi daripada kebiasaan orang bijak pandai yang gemar bersyarah, Socrates pula gemar berbincang.

Warisan Socrates di kota Athens diteruskan dengan kehadiran Plato dan Aristotles yang memberi sinar intelektual yang mengagumkan. Plato sebagai contoh, adalah ahli falsafah sekaligus murid Socrates yang terkenal kerana mendirikan sebuah sekolah bernama Akademi dimana sekolah tersebut membincangkan subjek falsafah, matematik dan gimnastik. Oleh kerana idea Plato inilah maka sehingga ke hari ini tenaga pengajar atau guru digelar sebagai ahli akademik walaupun hakikatnya guru hari ini amat berbeza sama sekali dengan seorang ahli falsafah. Ini kerana cara pengajaran guru sekolah pada zaman ini lebih berbentuk sehala iaitu dengan menyuapkan sahaja pengetahuan ke dalam minda pelajar, berbanding Plato dengan cara berwacana secara terbuka. Maka tidak hairanlah apabila semua karya penulisan Plato adalah dalam bentuk dialog. Hasil daripada wacana terbuka bersama anak muridnya.

Antara anak murid Plato yang terkenal dan seterusnya mewarisi keagungan intelektual kota Athens adalah Aristotles. Beliau adalah anak murid Plato selama hampir dua puluh tahun di Akademi. Berbeza dengan Plato yang lebih mengutamakan dunia idea nya seperti ternyata dalam mitos terkenal beliau iaitu Myth of allegory caves. Aristotles pula lebih bersifat rasional dalam pendekatan falsafahnya. Beliaulah ahli falsafah Athens yang sekaligus menjadi ahli sains kerana menitikberatkan kajian empirikal atau pemerhatian dalam mencari kebenaran. Usaha beliau dalam menunjukkan bahawa tiap-tiap benda yang ada di alam semulajadi ini yang dapat dibahagikan kepada kategori dan subkategori berbeza-beza amat berjasa dalam dunia ilmu pengetahuan.

Ringkasnya, Plato menggunakan telahan akal dalam mencari kebenaran, manakala Aristotle pula menggunakan akal berserta derianya sekali. Oleh kerana itulah, pencerahan Eropah berserta tokoh-tokohnya seperti Immanuel Kant amat berkait rapat dengan usaha Aristotles. Ini kerana, atas usaha Aristotles yang berjaya menyatukan antara akal (saintifik) dan wahyu lah dalam mencari kebenaran maka Eropah dapat membebaskan diri (negara) daripada zaman kegelapan iaitu ilmu pengetahuan yang dimonopoli oleh golongan gereja.

2.1 Definisi falsafah.

Perkataan falsafah berasal dari perkataan Greek iaitu gabungan perkataan “philo” yang bererti cinta dan perkataan “Sophia” yang bererti hikmah. Manusia yang memperkenalkan istilah philo-sophy ini adalah Phytagoras (527 – 497 SM). Oleh itu, philo-sophy membawa maksud sebagai “Cinta kepada kebijaksanaan”. Jika dirungkaikan secara terperinci, cinta merupakan suatu istilah yang melibatkan kesungguhan, kedalaman perasaan, sentuhan hati, jiwa serta raga. Orang yang dalam perasaan sedang bercinta akan sentiasa bersungguh terhadap objek yang dicintai. Seperti kata Hukamak, “Barangsiapa yang mencintai sesuatu, pasti ia akan menjadi hambanya”.

Maka secara mudahnya ahli falsafah boleh dikatakan sebagai seorang manusia yang sedang tenggelam dalam perasaan cinta yang mendalam terhadap segala perkara yang menjurus kepada kebijaksanaan. Begitulah sifat seorang ahli falsafah sejati iaitu sifatnya yang sentiasa merasa dirinya sentiasa tidak mencukupi ilmu pengetahuan. Socrates sendiri ada merumuskan ideanya iaitu bahawa mengetahui atau menyedari bahawa kita tidak mengetahui (tentang sesuatu) juga merupakan ilmu. Oleh kerana itulah Socrates juga mengatakan bahawa “Orang yang paling bijaksana adalah orang yang mengetahui bahawa dia tidak tahu”.

Berbeza dengan Socrates, Plato berpendapat bahawa ahli falsafah adalah manusia yang bersedia menerima ilmu pengetahuan, cinta serta tidak puas-puas belajar dan berminat mencari kebenaran dan suka melihat kebenaran itu diterjemahkan ke dalam kehidupan. (Mohammed Yusoff Hussain, 2002). Plato memang seorang ahli falsafah yang amat menitikberatkan ilmu pengetahuan serta pendidikan. J.J Rosseau memberitahu bahawa karya Plato yang terkenal iaitu Republic bukanlah sebuah karya tulis tentang politik, melainkan ia adalah suatu pemikiran yang agung dalam bidang pendidikan. Betapa tingginya penilaian Plato terhadap seorang ahli falsafah sehinggakan raja yang paling layak memerintah negara ideal menurut pemikirannya juga seorang ahli falsafah. (J.H Rapar, 1993).

3.0 Falsafah umum

Pemikiran falsafah secara amnya boleh diklasifikasikan mengikut 3 zaman yang tertentu. Alam falsafah yang pertama dan terawal bermula di Greek ditandai oleh ahli falsafah seperti Thales, Anaximander, dan Anaximenes yang menjadikan alam semula jadi sebagai subjek falsafahnya. Kemuncak alam falsafah Greek seterusnya diwarisi oleh tiga tokoh falsafah yang terkenal iaitu Socrates, Plato dan Aristotles. Zaman ini dikatakan sebagai zaman keemasan falsafah di Greek kerana selain melibatkan diri dengan persoalan tentang alam semulajadi, ketiga-tiga ahli falsafah ini juga melibatkan diri dengan persoalan tentang moral.

Falsafah abad pertengahan pula menggabungkan pemikiran falsafah yang ditunjangi oleh falsafah Greek dengan ajaran Kristian. Tokoh terkenal yang hidup pada zaman falsafah abad pertengahan ini adalah St. Augustine. Beliau merupakan ahli falsafah yang menghasilkan karya bertajuk The City of God yang ideanya didalam karya tersebut dijadikan dan seterusnya disamakan dengan kuasa gereja. (Muhd. Yusof Ibrahim, 1991). Oleh kerana itulah zaman abad pertengahan ini juga dikatakan sebagai zaman kegelapan akibat kebenaran mutlak hanya dimiliki oleh pihak gereja. Pada zaman ini sebarang bentuk pemikiran yang bertentangan dengan pihak gereja adalah dilarang. Ramai ahli falsafah mati akibat larangan ini antaranya seperti Giordano Bruno yang mati dibakar hidup-hidup.

Keadaan ini berterusan sehingga ke abad 16 apabila bermula bantahan terhadap pemutlakan kebenaran itu. Pihak gereja sudah mula berani ditentang oleh golongan intelektual Barat. Kemunculan kuasa dan pengaruh sains serta lahirnya semangat berfikir secara kritis antara menjadi sebab kuasa gereja mula diruntuhkan. Pada zaman ini alam falsafah Barat moden mula mencapai zaman kegemilangannya. Zaman yang dikenali sebagai Renaissance ini seterusnya menghasilnya banyak pengetahuan baru yang amat berguna sehinggalah ke hari ini. Berpunca daripada kemajuan yang hebat ini, falsafah barat moden berjaya dipecahkan kepada beberapa cabang antaranya seperti Metafizik, Epistemologi serta Aksiologi.


3.1 Metafizik

Metafizik adalah salah satu cabang falsafah yang berkaitan dengan kajian sifat dan asal usul mengenai realiti mutlak. Istilah yang berasal daripada tajuk sebuah karya Aristotle ini juga boleh dikatakan sebagai sebuah ilmu yang mempersoalkan tentang “Ada”. (Hardiman,2008)

Antara tokoh yang melibatkan diri dalam hal metafizik adalah seperti Martin Heidegger (1889). Menurut beliau, sebarang objek yang dilihat oleh mata kita bukanlah suatu yang “Ada” sebaliknya hanya “Mengada”. Akibat pancaindera yang sudah terbiasa dengan objek yang dilihat, maka rasio tidak mampu untuk menyingkap kebenaran melalui pancaindera. Kita terpaku pada objek yang mengada dan melupakan Ada yang dibelakangnya. Ada itu bersifat transendental. Oleh kerana itu, beliau menyarankan supaya dalam bermetafizik (demi mencari kebenaran), manusia seharusnya bersikap seperti pemula. Dengan bersikap seperti pemula ini, maka manusia dapat membuka diri untuk menerima kebenaran yang baru.

Inilah yang dilakukan oleh kebanyakkan ahli falsafah. Mereka melihat sesuatu seperti seorang pemula. Mereka juga melihat dengan penuh cermat dan penuh perasaan ingin tahu. Perasaan ingin tahu seorang ahli falsafah adalah seperti kanak-kanak yang baru ingin mengetahui tentang dunia. Sentiasa bertanya, dan tidak jemu-jemu.

3.2 Epistemologi

Epistemologi adalah cabang falsafah yang mengkaji ilmu pengetahuan. Istilah ini berasal daripada perkataan “Epistemis” iaitu ertinya mengenai pengetahuan. Bidang ini berusaha menjawab persoalan seperti “Bagaimana kita dapat memiliki pengetahuan?”, “Bagaimana membuktikan kesahihannya?” dan sebagainya.

Secara umumnya, telah wujud 2 aliran terkenal yang memiliki pandangan bagaimana ilmu pengetahuan dapat dimiliki. Pertama adalah aliran rasionalis yang mengatakan bahawa seluruh pengetahuan dapat ditemukan dalam akal tanpa memerlukan bukti pengalaman untuk menunjukkan kebenaran. Rasionalisme yang lahir daripada perkataan Latin iaitu “ratio” membawa erti alasan yang munasabah dan dapat diterima akal. Aliran ini wujud sebagai bangkangan terhadap aliran kedua iaitu aliran empiris dengan mengatakan bahawa pengalaman pancaindera hanya dapat digunakan dan dipakai untuk meneguhkan ilmu yang diperoleh melalui kerja-kerja minda atau akal. Antara tokoh terkenal dalam aliran rasionalis adalah Rene Descartes (1596), yang menggunakan matematik sebagai kaedah falsafahnya. Sebagai tokoh dalam aliran rasionalis, beliau hairan mengapa ramai ahli falsafah meraba-raba mencari kebenaran sedangkan kaedah matematik sudah ada untuk dijadikan model bagi mencari kepastian di dalam ilmu pengetahuan. (Mohammed Yusouf Hussain, 2002).

Aliran kedua adalah aliran empiris yang percaya bahawa seluruh pengetahuan diturunkan melalui pengalaman dan hanya kebenaran logika, geometri dan matematik sahaja yang dapat dikenalpasti menjadi suatu kebenaran tanpa merujuk kepada pengalaman. (Baggini, 2003). Perkataan empiris dari segi bahasa berasal daripada perkataan empeiri dalam bahasa Greek dan experiential dalam bahasa Latin dan experience dalam bahasa Inggeris yang bererti pengalaman. Antara tokoh dalam aliran ini adalah John Lockes (1632). Beliau terkenal melalui bangkangannya terhadap aliran rasionalis yang berpendapat bahawa manusia secara alamiahnya memiliki “innate ideas” atau idea semulajadi. Idea semulajadi inilah yang dikatakan sebagai kaum rasionalis sebagai sumber atau alat utama manusia untuk memperolehi ilmu pengetahuan.

Menurut John Lockes minda manusia hanya merupakan sebuah “tabula rasa” atau seumpama sekeping kertas yang tidak mempunyai apa-apa tulisan diatasnya dan tanpa sebarang idea. Oleh itu, semua idea (semua bahan yang digunakan untuk berhujah dan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan) datangnya adalah daripada pengalaman. Ini kerana beliau berpendapat bahawa sekiranya sesuatu itu belum lagi dialami maka ia bukanlah suatu ilmu oleh kerana ia belum menjadi suatu pengalaman bagi dirinya. Contohnya dalam penggubalan undang-undang oleh kerana undang-undang tidak boleh terbukti sendiri sebaliknya wujud hasil daripada pelaku iaitu melalui pengalaman manusia itu sendiri.

3.3 Aksiologi

Cabang falsafah aksiologi merupakan kajian terhadap nilai iaitu dengan mempersoalkan perkara seperti “Apakah yang bernilai?”. Kajian terhadap nilai ini juga boleh diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu etika dan estetika. Dalam etika, masalah pokok yang sering dibincangkan oleh ahli falsafah adalah apakah nilai moral itu nyata ataupun tidak. Oleh kerana itulah maka cabang etika sentiasa mengkaji perkara seperti nilai-nilai moral, prinsip moral dan tingkahlaku serta sifat murninya.

Antara persoalan yang melibatkan etika adalah seperti, “Adakah menggugurkan bayi dalam kandungan itu bersalah ataupun tidak?”, dan juga persoalan tentang “Adakah membunuh haiwan itu bersalah atau tidak?” melibatkan kajian dan persoalan falsafah yang mendalam. Maka telah diwujudkan satu pendapat bahawa nilai moral adalah terletak pada mata orang yang melihat.  Contoh yang lain seperti ketika poligami dianggap secara moral adalah salah di kebanyakan negara Barat namun di komuniti masyarakat yang beragama Islam, poligami dapat diterima sepenuhnya tanpa rasa bersalah. Persoalannya, “Adakah poligami itu suatu tingkahlaku yang salah atau benar?”.

Estetika pula mengkaji nilai-nilai mengenai kecantikan dan seni. Istilah estetika diperolehi daripada perkataan Yunani yang membawa maksud persepsi deria. Estetika mempersoalkan perkara seperti “Apakah kecantikan?”, “Apakah nilai-nilai kecantikan?”, dan sebagainya. Kajian estetika mahupun etika hakikatnya tidak dapat lari daripada falsafah eksistentialis yang menganggap bahawa manusialah yang mendatangkan penilaian terhadap sesuatu objek itu. Dalam falsafah eksistentialisme, realiti samaada nilai etika atau estetika adalah hasil daripada konstruksi manusia. Walaupun “realiti” yang diterima sebagai kebenaran itu juga  akhirnya akan dibentuk oleh kebudayaannya dan diterima sejagat hasil kebudayaan itu, namun sebagai manusia yang “authentic”, manusia (sebagai individu) diberi kebebasan untuk membuat pilihan.

Sebagai contoh, cuba bayangkan dalam suatu majlis perkahwinan yang dalam suasana riang-ria. Seorang pengantin perempuan sedang menunggu pasangannya dalam keadaan gembira. Hiasan yang beraneka warna berserta bunga-bunga yang pelbagai dan harum menyemarakkan lagi perasaan itu. Akan tetapi bayangkanlah, sedang bahagia dan riang itu memuncak, tiba-tiba datang satu telegram yang mengkhabarkan bahawa pengantin lelaki itu terlibat dalam kemalangan dan beliau mati di tempat kejadian. Cuba bayangkan perasaan pengantin perempuan tadi. Daripada perasaan yang penuh kegembiraan terus berubah menjadi satu kesedihan yang tidak terhingga. Hiasan yang beraneka warna dan difikirkan indah tadi akhirnya kelihatan memiliki satu warna saja iaitu hitam dan kelam. Bunga-bunga tadi yang harum hampir tidak menghasilkan bau lagi bagi dirinya. (Arief Budiman, 1976). Biarpun realitinya majlis perkahwinan tadi memiliki suasana yang riang-ria, namun bagi pengantin perempuan itu (individu) majlis itu tidak bermakna apa-apa buatnya kecuali kesedihan.

4.0  Falsafah pendidikan

Sejarah pendidikan telah bermula sejak kewujudan manusia, namun begitu bentuk dan corak sistem pendidikan berbeza mengikut masa, tempat dan adat resam sesuatu masyarakat. (Sivachandralingam Sundara Raja, 2001). Dalam peristiwa pembunuhan Qabil terhadap Habil, Qabil mempelajari ilmu untuk mengkebumikan tubuh Habil adalah melalui pemerhatian beliau terhadap burung yang sedang menggali tanah. Ini mungkin pendidikan terawal yang dialami oleh sejarah manusia, iaitu manusia belajar atau menerima pendidikan melalui alam.

Begitu  juga dengan bentuk dan corak sistem pendidikan, sebagai contoh kota Sparta, coraknya berbeza sekiranya dibandingkan dengan negara Athens. Dalam negara kota Sparta, bagi kanak-kanak berusia 8 – 18 tahun, kurikulumnya menekankan aspek latihan fizikal seperti berlari, melompat dan permainan bola. Apabila kanak-kanak membesar, mereka dilatih melempar cakera, lembing dan bergusti. Tujuan latihan seperti ini adalah untuk menjadikan kanak-kanak lelaki lasak dan memupuk nilai-nilai yang baik dalam peperangan. Di negara Athens, pendidikan diberikan kepada mereka yang berusia 7 – 19 tahun. Pendidikan Athens pula diberikan melalui pengajaran di sekolah dan akademi dan diajar oleh guru yang bergelar “pedagagos”. Berbeza dengan Sparta, pendidikan Athens tidak mengawal kehidupan dan pendidikan rakyatnya namun ia juga diwajibkan. Tujuan pendidikan Athens pula adalah untuk melahirkan masyarakat yang sihat, yang mempunyai budi pekerti, berkemahiran, kuat, meningkatkan moral dan bijak. (Sivachandralingam Sundara Raja, 2001).

Dalam pendidikan masyarakat Arab, sebelum kedatangan Islam, pendidikan bangsa Arab hanya terhad kepada syair, syarahan dan satu bentuk astronomi yang primitif dan penuh dengan tahayul dan khurafat. Namun selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW, pendidikan mendapat tempat utama dalam hati Baginda SAW sehingga beliau mengarahkan sahabat-sahabatnya untuk belajar dan menulis. Baginda juga turut mengarahkan tawanan Perang Badar yang tahu membaca dan menulis mengajar 10 orang anak orang Islam sebagai syarat dibebaskan daripada menjadi orang tawanan. Hal ini membuktikan bahawa pendidikan adalah suatu perkara yang sangat penting bagi seluruh umat manusia merentasi zaman dan juga bangsa.

Oleh kerana itu, pendidikan boleh didefinisikan sebagai aktiviti–aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Usaha utama pendidikan boleh dikatakan demi menyediakan individu sekaligus masyarakat untuk memainkan peranan positif dalam negara. Pendidikan juga boleh dijadikan suatu alat bagi membebaskan manusia daripada penindasan seperti yang ditunjukkan oleh mazhab pendidikan kritis yang terdiri oleh tokoh seperti Paulo Freire dan sebagainya. (M. Agus Nuryatno, 2008). Negara Sparta adalah contoh dimana pendidikan hanyalah dijadikan alat untuk melestarikan sistem yang sama manakala Athens  pula adalah contoh pendidikan yang dapat dijadikan medium perubahan kelas sosial. Disebabkan oleh perkara ini, maka kebanyakkan negara pada abad ke-21 ini memilih corak pendidikan seperti Athens sebagai halatuju pendidikannya.

Bibliografi
1)      Gaarder, Jostein (2006). Dunia Sophie. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.
2)      R.M. Affandi (1979). Revolusi yang menempa sejarah. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
3)      Woods, Alan (2006). Reason in revolt = Revolusi berpikir dalam ilmu pengetahuan moden. Yogyakarta : IRE Press.
4)      Tan Malaka (1945). Madilog. Jakarta : Pusat Data Indikator.
5)      Fuad Hassan (1996). Pengantar filsafat barat. Jakarta : Pustaka Jaya.
6)      Mohammed Yusoff Hussain (2002). Sejarah falsafah barat moden. Shah Alam : Karisma Publication.
7)      J.H Rapar (1993). Falsafah politik Plato. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka.
8)      Muhd. Yusof Ibrahim (1991). Aspek dan perkembangan falsafah sejarah dunia barat. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka.
9)      F. Budi Hardiman (2008). Heidegger dan mistik keseharian = Suatu pengantar menuju Sein und Zeit. Jakarta : Kepustakaan Populer Gramedia.
10)  Baggini, Julian (2003). Lima tema utama filsafat. Jakarta : Teraju.
11)  Arief Budiman (1976). Chairil Anwar sebuah pertemuan. Jakarta : Pustaka Jaya.
12)  Sivachandralingam Sundara Raja (2001). Tamadun dunia. Shah Alam : Fajar Bakti.
13)  M. Agus Nuryatno (2008). Mazhab pendidikan kritis. Yogyakarta : Resist Book.

No comments:

Post a Comment