1.0 Pengenalan
Demi
mempersiapkan diri sebagai “manusia”, manusia harus melalui proses pembelajaran.
Berbeza dengan haiwan, manusia perlu menjalani proses pembelajaran untuk
mencapai ke arah tersebut. Haiwan adalah sebaliknya, ketika ia dilahirkan ia
sudah dilengkapi dengan kepandaian-kepandaian untuk hidup. Itik sebagai contoh apabila
baru menetas dari telur, setelah beberapa waktu, tanpa perlu belajar lagi, akan
sudah mampu untuk berenang.
Demikian
juga pada anak-anak burung, tanpa perlu belajar mereka kemudian akan mampu
untuk terbang. Anak burung ini juga tahu apa yang harus mereka makan dan apa
yang harus mereka tolak jika diberikan makanan yang bukan makanan burung. Keadaan
ini berbeza dan berlainan daripada kehidupan manusia. Manusia lahir sebelum
mampu untuk berbuat banyak perkara. Manusia perlu belajar untuk berjalan, perlu
belajar untuk makan, perlu belajar untuk mengenal perkara baik dan buruk dan
sebagainya. Oleh kerana itulah, manusia boleh dapat dianggap sebagai mahkluk
yang akan sentiasa berkembang oleh kerana perlunya manusia kepada proses
pembelajaran ini. Haiwan pula akibat
daripada kejadiannya yang sudah dipersiapkan oleh alam, akan jauh ketinggalan di
belakang kewujudan manusia.
Oleh
yang demikian, kehidupan manusia dapat didefinisikan sebagai satu proses perubahan
yang berterusan. Daripada bayi, ke dewasa dan seterusnya sehingga ke akhir
hayat manusia akan sentiasa berubah hasil daripada pelbagai faktor antaranya
seperti yang dinyatakan di atas iaitu faktor pembelajaran. Dengan pembelajaran,
manusia mampu mendapatkan autonomi terhadap dirinya sekaligus mampu memiliki
autoriti terhadap alam supaya dapat dikawal dibawah pemikirannya.
2.0 Konsep pembelajaran
Pembelajaran
dapat didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku kesan daripada pengalaman
seseorang manusia. Menurut pendapat John Lockes pula, beliau menegaskan bahawa
minda manusia hanya mampu memiliki ilmu pengetahuan hasil daripada pancaindera yang seterusnya akan dicetak didalam minda
manusia yang sebelum ini umpama sekeping kertas yang tidak mempunyai apa-apa
tulisan diatasnya atau apa yang beliau gelarkan sebagai “tabula rasa”.
Oleh
yang demikian dapat dirumuskan bahawa pembelajaran amat berkait rapat kepada
pengalaman dan pancaindera. Keduanya saling berhubung untuk membolehkan manusia
mengalami suatu proses perubahan tingkah laku dan demi mendapatkan proses
perubahan daripada “ke-tidak-sedaran” manusia
menuju kepada “kesedaran”. Sebagai
contoh, seorang pelajar yang mengikuti sistem berorientasikan kepada
peperiksaan semata-mata mungkin akan menggunakan segenap pancainderanya untuk mendapatkan
keputusan yang cemerlang didalam peperiksaan. Sekiranya pelajar tersebut rajin
dan fokus didalam pembelajarannya, maka pasti ia berjaya melakukannya.
Di
sini ternyata pembelajaran yang dilakukan mampu untuk mendapatkan perubahan
tingkahlaku kepada pelajar tersebut iaitu daripada “tidak-tahu” kepada “tahu”.
Namun akibat kurangnya diberikan pendedahan kepada dunia realiti sebenar
(pengalaman), mungkin pelajar tersebut akhirnya setelah mendapatkan ijazahnya
akan terus melanjutkan hidupnya didalam dunia pekerjaan tanpa menghiraukan
sifat kemanusiaan yang ada pada dirinya untuk memikirkan tentang hal
kemanusiaan.
Pelajar
ini yang kurang diberikan pendedahan yang memberangsangkan tentang hal kemanusiaan
boleh dikatakan sebagai contoh pelajar yang tidak mengalami proses menuju
kepada “kesedaran” yang sepatutnya turut dijadikan sebagai aspek penting dalam
pembelajaran. Di dalam buku Siddharta karya Herman Hesse ada menyebutkan bahawa
Ilmu pengetahuan dapat diajarkan, tetapi kebijaksanaan adalah tidak.
Kebijaksanaan hanya datang daripada pengalaman.
Oleh
kerana itu, demi menghuraikan konsep pembelajaran secara mendalam, kebanyakan
ahli psikologi telah membezakan pembelajaran kepada dua kategori yang luas iaitu
pembelajaran kognitif-persepsi dan pembelajaran tingkah laku.
·
Pembelajaran
kognitif-persepsi
Didalam
pembelajaran kategori ini ia melibatkan proses pembelajaran yang bergantung
kepada operasi mental. Antaranya seperti pembelajaran yang menggunakan pendekatan
berfikir secara mendalam dalam menyelesaikan masalah dan pencarian pelbagai
sumber maklumat untuk memahami serta mendapatkan sesuatu ilmu pengetahuan.
·
Pembelajaran
tingkah laku
Ia
bermaksud perubahan tingkah laku yang tahan lama disebabkan oleh pengalaman
lampau yang dialami oleh setiap manusia. Akibat daripada pengalaman yang
berlaku ke atas seseorang itu, manusia memperolehi maklumat, celik akal,
kemahiran, kebiasaan dan seumpamanya (perubahan tingkah laku). Setiap
pengalaman baru yang dialami, manusia akan mampu bertindak dalam cara yang
berbeza berbanding sebelumnya.
3.0 Teori pembelajaran dalam perlaksanaan
pengajaran
Teori
diibaratkan sebagai tulang belakang kepada segala usaha pencarian oleh para
pengkaji demi mendapatkan maklumat terhadap sesebuah kajian. Menurut Kamus
Dewan Edisi Ke-4 pula, teori didefinisikan sebagai sebuah pendapat yang masih bersifat andaian yang dikemukakan
untuk menerangkan sesuatu perkara. Oleh yang demikian, penggunaan teori tidak
terhad kepada para pengkaji semata-mata. Sebaliknya, dalam tidak sedar, setiap
manusia telah mengaplikasikan teori dalam kehidupan seharian bagi berusaha
memahami dan menyelami diri dan tingkah laku orang lain.
Di dalam pembelajaran, guru memainkan peranan penting bagi
memudahkan pembelajaran para pelajar. Untuk memenuhi
tugas ini, pengajar atau guru bukan sahaja harus dapat menyediakan suasana pembelajaran
yang menarik dan harmonis, tetapi mereka juga perlu menciptakan pengajaran yang
berkesan. Maka di sini lah perlunya
peranan guru untuk memikirkan sebuah bentuk teori pembelajaran yang sesuai bagi
memudahkan pembelajaran tersebut.
Teori pembelajaran dapat didefinisikan sebagai penjelasan
tentang proses, prinsip dan hukum pembelajaran yang dihasilkan melalui kajian
saintifik. Melalui teori pembelajaran ini, ia berperanan untuk menjelaskan
bagaimana konsep pembelajaran dapat dilakukan dan juga dapat dijadikan asas
pembentukan strategi pengajaran untuk diaplikasikan oleh para pendidik dan juga
guru.
Mengikut sejarah, kajian tentang teori pembelajaran telah
dihuraikan secara mendalam sejak kurun ke-18 lagi. Kajian ini telah diusahakan
oleh pelbagai pelopor yang terdiri daripada pelbagai ahli psikologi dan juga ahli
falsafah. Teori pembelajaran tersebut akhirnya telah dipecahkan kepada pelbagai
mazhab atau aliran dan seterusnya dijadikan sebagai rujukan utama oleh para
pendidik dan guru dalam melaksanakan usaha pengajaran.
Antara persamaan yang dihasilkan oleh ahli psikologi dan juga
ahli falsafah terhadap teori yang dicipta adalah setiap kajian tersebut memiliki
penjelasan tentang proses yang dilakukan, prinsip dan juga hukum pembelajaran
dalam usaha merangka teori pembelajaran. Berikut adalah beberapa mazhab teori
pembelajaran yang terkenal dan sering digunapakai hampir di seluruh dunia.
3.1 Teori Behaviouris
Pendekatan jenis ini juga dikenali sebagai kefahaman terhadap
tingkah laku. Pendekatan ini menekankan kepada tingkah laku yang boleh
diperhati dan diukur terhadap objek kajiannya iaitu manusia. Ini juga bererti
bahawa pendekatan jenis ini menolak kajian terhadap proses mental manusia
sebaliknya kajian dilakukan hanya terbatas kepada pengamatan tingkah laku.
Tegasnya, pendekatan ini menekankan peranan persekitaran
sebagai penentu kepada tingkahlaku manusia. Berbeza dengan aliran lain yang
akan dibincangkan dibawah, behaviourisme menyatakan bahawa proses mental tidak
boleh dikaji secara saintifik kerana ianya tidak dapat dilihat, diukur dan
bersifat relatif. Oleh yang demikian, usaha untuk mengkaji mental secara
objektif adalah mustahil. Oleh kerana itulah, tumpuan pengajaran harus diberikan
sepenuhnya kepada tingkah laku yang dapat diperhatikan.
Disebabkan teori behaviouris telah menyingkirkan aspek proses
mental dalam perlaksanaan teori pembelajarannya, maka ada beberapa pendapat
mengatakan bahawa teori behaviouris adalah “ilmu jiwa tanpa jiwa”. Ini kerana
teori ini telah menyingkirkan sisi psikologi manusia yang kompleks dan
sebaliknya hanya berpandukan kepada tingkah laku manusia yang berbeza-beza
mengikut lingkungan budayanya.
Ini juga dapat dibuktikan apabila kebanyakan pelopor teori
ini telah mencipta teori behaviouris berdasarkan pemerhatian mereka terhadap
binatang seperti anjing, tikus, burung dan kucing. Berdasarkan pemerhatian ini
pula, pelopor ini cuba menyerapkan ia kepada tingkahlaku manusia untuk
dijadikan bahan kajian saintifiknya. Ternyata ia memiliki falasi yang jelas
bermula sejak awal lagi. Oleh kerana itulah, kebanyakkan penganut teori ini
kini tidak lagi mengambil pandangan ekstrim behaviourisme yang menafikan sisi
psikologi manusia, sebaliknya mereka juga telah memberi pertimbangan terhadap
proses mental yang menyumbang kepada perubahan tingkah laku.
Antara tokoh yang melibatkan diri dalam kajian terhadap teori
behaviourisme adalah seperti Ivan Pavlov (1849 – 1936), John B. Watson (1878 –
1958), B. F. Skinner (1904 – 1990), dan Edward L. Thorndike ( 1874 – 1949).
3.2 Teori Kognitivis
Bagi bertindakbalas terhadap pendekatan behaviourisme yang
terlalu ketat, pendekatan kognitif telah tumbuh dan berkembang bagi menjadi anti-tesis
terhadap pendekatan seperti itu. Bagi
ahli psikologi kognitif, mereka melihat manusia bukan sebagai penerima pasif
rangsangan daripada persekitaran, sebaliknya manusia adalah aktif dalam mencari
pengalaman, mengubah dan membentuk pengalaman, dan menggunakan proses mental
untuk mengubah maklumat berdasarkan kepada perkembangan kognitif.
Dengan demikian, teori pembelajaran kognitif telah menyatakan
bahawa setiap manusia mempunyai kebolehan kognitif yang mampu untuk mengelola,
menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalamannya. Berbeza daripada
pendekatan behaviourisme yang menitikberatkan tingkahlaku dalam kajian mereka
terhadap manusia dalam proses pembelajaran, teori kognitif pula menitikberatkan
perubahan dalaman proses mental yang digunakan oleh individu untuk memaknakan
dunianya. Ini bererti bahawa pembelajaran adalah bermula daripada perubahan
struktur mental seseorang yang membolehkannya untuk menunjukkan perubahan dalam
tingkahlakunya.
Oleh kerana pendekatan kognitif menekankan kepada proses
mental dalaman. Maklumat yang diterima oleh seseorang individu akan diproses
terlebih dahulu dengan melalui proses pemilihan, perbandingan dan penyatuan
dengan maklumat lain yang sedia ada didalam ingatan. Penyatuan maklumat yang
baru ini pula akan berlanjutan sehingga seterusnya sehingga berjaya mengubah
tingkahlaku manusia daripada “tidak-tahu” kepada “tahu”.
Inilah yang dimaksudkan oleh ahli psikologi yang menekankan
bahawa manusia bukanlah penerima rangsangan-rangsangan yang pasif seperti yang
ditekankan oleh penganut teori behaviourisme. Ringkasnya, teori kognitif adalah
teori yang berkonsepkan kepada tindakan proses mental seperti mengingat,
membuat keputusan dan memproses informasi dalam mempengaruhi perkembangan
manusia.
Antara tokoh yang terlibat dalam kajian terhadap teori kognitif
ini adalah Jean Piaget (1896 – 1980), Jerome Bruner (1915 - ), dan David
Ausubel (1918 – 2008).
4.0 Model teori
pembelajaran
Seperti yang telah dinyatakan bahawa ahli psikologi telah
mengkategorikan pembelajaran kepada 2 kategori iaitu pembelajaran tingkahlaku
(behaviourisme) dan juga pembelajaran kognitif.
Hasil daripada kategori pembelajaran ini pula, ahli psikologi
yang terbabit telah merangka teori pembelajaran bagi menjelaskan kajiannya secara
saintifik terhadap kedua kategori pembelajaran tersebut.
Bagi memperincikan lagi teori pembelajaran tersebut agar
mudah diaplikasikan oleh para pendidik dan guru di seluruh dunia, maka telah
diwujudkan beberapa model teori pembelajaran seperti yang dinyatakan dibawah.
4.1 Model teori behaviourisme
·
Kontiguiti
Kontiguiti adalah proses pembelajaran melalui perkaitan mudah
iaitu hasil daripada perpasangan berulang. Teori Kontiguiti menyatakan “Apabila
dua peristiwa berlaku serentak beberapa kali, dua peristiwa ini akan berkait ;
dan apabila satu daripada peristiwa ini berlaku, peristiwa kedua akan diingati.”
Contohnya aktiviti didalam kelas yang memaparkan seorang guru
yang menunjukkan lukisan ayam di papan tanda semasa mengajar. Kemudian guru
tersebut meminta seorang pelajarnya untuk menunjukkan kepada beliau bagaimana anak
murid itu melukis lakaran ayam tersebut. Pelajar tersebut melihat lukisan ayam
di papan tanda dan seterusnya melakarkan lukisan ayam itu di helaian kertasnya.
Kemudian apabila guru tersebut meminta pelajar yang sama
untuk melukis lakaran ayam di pada hari yang lain, maka dengan mudahnya anak
murid tersebut melakar lukisan ayam tersebut tanpa perlu melihat ayam di papan
tanda seperti yang ditunjukkan oleh guru pada hari sebelumnya.
Oleh kerana model ini berjalan atas perkaitan yang mudah
iaitu hasil daripada perpasangan yang berulang. Maka model kontiguiti ini hanya
sesuai untuk pembelajaran fakta seperti mengingati nama, tahun, sifir dan
lain-lain. Bagi kemahiran yang kompleks seperti pencarian makna dan sebagainya
adalah tidak sesuai mengikuti model ini.
·
Pelaziman Klasik
Menurut teori ini, pembelajaran merupakan tindak balas
manusia secara psikologi dan emosi terhadap persekitarannya. Sebagai contoh,
seorang pelajar yang diminta untuk membuat persembahan di dalam kelas, pelajar
tersebut telah berasa gugup biarpun beliau hanya perlu melakukan persembahan
kepada kanak-kanak tadika sahaja.
Hal ini berlaku kerana pelajar tersebut telah mengaitkan persembahan
yang sedang beliau lakukan itu dengan pengalaman lampau di mana beliau telah
mengalami peristiwa memalukan apabila telah melakukan kesilapan di hadapan
rakan-rakannya sendiri. Peristiwa ini telah menghantui beliau sehingga menjadi
suatu kelaziman untuk berasa gugup apabila melakukan persembahan di hadapan
orang lain.
Oleh kerana pelaziman klasik melibatkan pembelajaran tindak
balas manusia secara psikologi dan emosi terhadap persekitaran, maka teori ini
juga turut berfungsi bagi menjelaskan pembelajaran emosi.
·
Pelaziman Operan
Ia juga turut dikenali sebagai pembelajaran cuba dan jaya (trial
and error learning). Menurut pelaziman operan, prinsip asas pembelajaran diwujudkan
daripada pengaruh ganjaran dan denda. Ia juga berdasarkan kepercayaan bahawa
setiap manusia akan membuat sesuatu apabila ia membawa kepada keseronokan /
kebahagiaan dan sebaliknya akan meninggalkan sesuatu perbuatan sekiranya ia membawa
kesakitan atau membahayakan diri.
Ini bererti ganjaran akan mendorong manusia mengulangi
sesuatu gerak balas manakala denda pula boleh menyekat manusia daripada
melakukan sesuatu gerak balas yang bertentangan. Oleh yang demikian, pelaziman
operan adalah sebuah teori yang menjelaskan bahawa pembelajaran sebagai tingkah
laku yang terhasil daripada kesan tingkah laku iaitu bersumberkan denda dan
ganjaran.
Oleh kerana pelaziman operan berkait rapat dengan denda dan
ganjaran maka ia amat bersesuaian dengan mentaliti kaum kapitalis yang
bertujuan bagi mengaut keuntungan. Sebagai contoh ; Anak murid belajar bersungguh-sungguh
jika dijanjikan akan diberi hadiah adalah sama seperti buruh yang akan bekerja bersungguh-sungguh
jika dijanjikan untuk diberikan gaji.
4.2 Model teori kognitif
·
Teori Gestalt
Gestalt pada asasnya merujuk kepada satu pola, bentuk atau
konfigurasi yang diteliti serta diamati oleh seseorang secara keseluruhan. Teori
ini memberi penekanan kepada makna individu itu sendiri dan bagaimana individu itu
melakukan pengamatan dan persepsi serta kemahiran dan pengetahuan terhadap
pengalaman mereka sendiri.
Menurut Gestalt lagi, seseorang itu mengalami masalah
sekiranya masih belum melengkapkan persepsinya atau gagal mempunyai kesedaran untuk
membolehkannya merasai sesuatu pengalaman. Oleh kerana itulah, teori Gestalt
mengatakan pembelajaran adalah berlaku secara celik akal. Disinilah bermulanya
peranan guru bagi membantu para pelajar untuk memperolehi celik akal tersebut.
Antaranya adalah seperti melatih para pelajar untuk melihat sesuatu
permasalahan secara keseluruhan sebelum memahaminya secara terperinci. Ini
kerana didalam teori Gestalt, pembelajaran akan dilakukan secara bentuk (patterns),
dan bukan bahagian-bahagian. Hal ini dilakukan bagi melatih para pelajar untuk
mengalami sendiri kefahaman secara individu terhadap objek pemerhatiannya
sekaligus meransang pemikiran pelajar dalam proses pembelajaran.