1.0 Pengenalan
Menurut
International Dictionary of Education,
pendidikan merupakan suatu proses yang membentuk kemampuan dan sikap manusia
melalui suatu proses sosial dalam mana seseorang individu tersebut memperoleh
keyakinan dan pertumbuhan individu yang dijalankan melalui suatu keadaan yang
dipilih dan dikawal serta diinstitusikan seperti sekolah ataupun kolej. (Sivachandralingam
Sundara Raja, 2001).
The New Encyclopaedia Brittanica
pula mendefinisikan pendidikan sebagai suatu displin yang berurusan dengan
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan didalam sekolah dan juga
persekitarannya. Kedua-dua rujukan ini menyatakan bahawa sekolah merupakan
sebuah institusi yang penting dalam usaha memberikan pendidikan kepada manusia
dan dilakukan dalam keadaan secara terancang dan sistematik. (Sivachandralingam
Sundara Raja, 2001).
Di
Malaysia, suatu halatuju serta pedoman perlu difikirkan bagi mewujudkan
pendidikan yang terancang serta sistematik ini. Dengan adanya Falsafah
Pendidikan Kebangsaan, maka ia menjadi sebuah sistem yang bersepadu kepada
setiap institusi sekolah mahupun kolej dalam melaksanakan pendidikannya. Aspek
seperti intelek, rohani, jasmani, emosi dan lain-lain ditekankan didalam FPK agar
menjadi pedoman kepada para pendidik dalam melaksanakan tugas pengajaran dan
pembelajaran.
Akhirnya,
matlamat pendidikan untuk membentuk rakyat yang berpengetahuan serta berguna kepada
diri, bangsa dan agama telah menjadi lebih jelas setelah wujudnya FPK. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang diamalkan oleh setiap institusi sekolah di Malaysia
bukan sahaja memudahkan usaha mendidik malah telah menjadi suluh serta halatuju
kepada usaha mengembang dan memajukan pendidikan negara.
2.0 Falsafah Pendidikan Kebangsaan
(FPK)
Falsafah
boleh difahamkan sebagai suatu pemikiran yang melihat suatu permasalahan
daripada pelbagai perspektif. Ia dilakukan dalam keadaan yang sistematik, penuh
keinginan serta kritis bagi mendapatkan suatu pandangan atau teori murni yang
tidak bias kepada mana-mana pemikiran dalam mencari kebenaran. Oleh kerana
itulah falsafah juga dikenali bertujuan untuk mencari kebenaran sekaligus
memberi arah tuju kepada perkara yang penting dalam kehidupan.
Berdasarkan
huraian ini, maka falsafah pendidikan dapat didefinisikan sebagai suatu
pemikiran yang sistematik, kritis, penuh usaha untuk mencari kebenaran dalam
menetapkan halatuju yang berkaitan dengan pendidikan. Kebiasaannya, falsafah
pendidikan sesebuah negara diwujudkan berdasarkan idealogi yang dipegang oleh
sesebuah negara tersebut. Sebagai contoh, bagi negara German pada zaman
pemerintahan Hitler, falsafah pendidikannya berbeza dengan falsafah pendidikan
German pada zaman kini. Begitu juga dengan negara Malaysia, ia tidak terlepas
daripada falsafah atau idealogi yang dipegang oleh negara kita pada saat ini.
Maka, pendapat bahawa sekolah merupakan sebuah kemungkinan untuk agen
doktrinasi masyarakat adalah tidak dapat disangkal lagi.
Oleh
yang demikian, falsafah pendidikan kebangsaan boleh dirumuskan sebagai sebuah
falsafah yang digubal daripada usaha berfikir yang rasional dan kritis,
berlandaskan idealogi negara sebagaimana yang dimanifestikan didalam Laporan
dan Dasar Pendidikan termasuk rukun negara. Hasil falsafah pendidikan
kebangsaan ini digunakan sebagai suluh yang memberi pedoman kepada segala usaha
pendidikan yang dijalankan di dalam negara bagi memenuhi keperluan individu,
masyarakat dan negara.
2.1 Sejarah Falsafah Pendidikan
Kebangsaan
Sebagaimana
yang telah dijelaskan diatas, setiap sesebuah negara mempunyai falsafah
pendidikan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Ini disebabkan oleh
perbezaaan faktor seperti falsafah negara, cita-cita pemerintah, berlainan
bentuk pemerintahan dan corak kebudayaan. Di samping perbezaan ini juga,
falsafah pendidikan juga tidaklah kaku atau tetap selamanya. Sebaliknya ia akan
sering berubah dari suatu masa ke suatu masa mengikut hal perubahan faktor
seperti yang dinyatakan di atas.
Falsafah
pendidikan di negara Malaysia secara rasminya digubal hasil daripada sistem
pendidikan di Malaysia yang telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka.
Antaranya setelah diperkenalkan dengan rancangan Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR) dan juga Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Rancangan KBSR
yang menekankan penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira
berserta penekanan terhadap aspek intelek, jasmani, emosi dan rohani bertujuan
bagi mengembangkan individu secara holistik. Begitu juga dengan rancangan KBSM
yang menitikberatkan agar sistem pendidikan di Malaysia juga menjadi lebih
bersepadu. Dengan adanya perubahan melalui penerapan rancangan KBSR dan KBSM
ini maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan diwujudkan dengan harapan agar sekolah
di Malaysia dapat melahirkan pelajar yang berilmu, berakhlak mulia, berupaya
memberi sumbangan kepada kemajuan , dan kesejahteraan terhadap pembangunan
negara.
Mengikut
sejarah, sebelum Falsafah Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan, pendidikan di
Malaysia telah berusaha untuk menghapuskan cita negara daripada dasar penjajah
British yang bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka di Tanah Melayu. Hasil
daripada pemikiran yang terkandung dalam Laporan Razak 1956 berserta Laporan
Rahman Talib 1960, kedua-dua laporan ini menitikberatkan pendidikan bagi
perpaduan negara dalam usaha mencipta sebuah negara yang merdeka. Kedua-dua
laporan ini juga jika dikaji secara teliti menunjukkan bahawa usaha untuk
mewujudkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah lama semenjak pasca
kemerdekaan.
2.2 Peranan Falsafah Pendidikan
Negara
Berlandaskan
Falsafah Pendidikan Negara ini maka negara sudah mempunyai petunjuk bagi
menentukan arah sekaligus menentukan halatuju pendidikan di Malaysia. Falsafah
Pendidikan Negara ini bukan sahaja penting bagi mencapai matlamat untuk
melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan malahan ia turut memainkan beberapa
lagi peranan penting dalam usaha untuk memperkembangkan lagi mutu pendidikan di
negara Malaysia. Berikut adalah beberapa peranan hasil wujudnya Falsafah
Pendidikan Negara.
·
Sebagai
suluh yang memberi panduan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan Negara.
Falsafah
Pendidikan dibina melalui 3 aspek iaitu menerusi laporan, dasar pemerintahan
sesebuah negara, dan juga ideologi yang
dianuti oleh sesebuah negara. Dengan melakukan perincian terhadap ketiga aspek
ini lantas wujudlah Falsafah Pendidikan Negara yang dapat dijadikan pedoman
buat para pendidik sekaligus memudahkan cita negara dalam usaha untuk mencapai
Matlamat Pendidikan Negara.
·
Menjadi
dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan Matlamat Pendidikan Negara.
Selain
dapat dijadikan pedoman buat para pendidik, Falsafah Pendidikan Negara juga
dijadikan sebagai penanda bagi menentukan matlamat yang ingin dicapai. Antara
matlamat yang ingin dicapai adalah untuk memperolehi warganegara yang bersepadu
kendirinya yang dilengkapi oleh aspek jasmani, emosi, rohani, dan intelektual
yang diharapkan agar dapat menjadi masyarakat yang berguna.
·
Sebagai
bimbingan untuk para pendidik semasa melaksanakan tugas pendidikan.
Dengan
adanya Falsafah Pendidikan Negara para pendidik dapat mengetahui matlamat
pendidikannya yang perlu dicapai. Falsafah Pendidikan Negara akan membimbing
para pendidik bukan sahaja bagi mempermudahkan lagi tugas pendidikan malah
dapat dijadikan satu batasan agar didikan yang disampaikan tidak tergelincir
daripada apa yang ingin dicapai.
·
Menghilangkan
salah faham, keraguan atau pertelingkahan dalam sebarang usaha melaksanakan
tugas ataupun aktiviti pendidikan.
Falsafah
Pendidikan Negara boleh dianggap sebagai sebuah manual atau rukun yang perlu
dipegang oleh para pendidik di Malaysia dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Dengan adanya Falsafah Pendidikan Negara, ia akan sentiasa
dirujuk oleh para pendidik sekiranya terdapat sebarang salah faham atau
keraguan dalam melaksanakan tugas dan aktiviti pendidikan.
2.3 Matlamat Falsafah Pendidikan
Negara
Matlamat
Pendidikan Negara bertujuan bagi melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya
menjadi warganegara Malaysia yang baik. Dengan perkataan lain, Matlamat
Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna daripada
segi jasmani, rohani, emosi dan intelektualnya melalui pendidikan secara
bersepadu.
Keempat
ciri ini penting kepada pembangunan negara dalam usaha melahirkan rakyat yang
bertanggungjawab, progresif, mahir serta cekap selain dapat menghasilkan rakyat
yang taat dan cinta kepada negara. Selain daripada itu juga matlamat yang ingin
dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara ini adalah untuk mewujudkan
masyarakat yang dapat mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara dalam usaha
mewujudkan toleransi serta perpaduan dikalangan rakyat berbilang kaum di
Malaysia.
Berlandaskan
daripada Falsafah Pendidikan Negara, berikut adalah beberapa huraian yang
diambil bagi menjelaskan falsafah yang digariskan dalam usaha menuju pencapaian
Matlamat Falsafah Pendidikan Negara.
·
Memperkembangkan
potensi individu.
Melalui
proses pendidikan yang bersepadu hasil daripada perancangan yang diterapkan
didalam Falsafah Pendidikan Negara, maka potensi di setiap diri para pelajar
akan diperkembangkan semaksima mungkin bagi menghasilkan para pelajar yang
sempurna sifatnya iaitu yang berilmu pengetahuan dan juga berakhlak mulia.
·
Mewujudkan
insan yang seimbang dan harmonis.
Seperti
yang sudah dinyatakan, Falsafah Pendidikan Negara bukan sahaja menitikberatkan
kepada perkembangan intelektual semata, sebaliknya ia juga merangkumi aspek
jasmani, rohani dan emosi dalam usaha mewujudkan insan yang lengkap dan
seimbang dengan harapan agar dapat menjadi warganegara yang baik kelak.
·
Rakyat
Malaysia yang berketrampilan.
Dengan
penerapan ilmu pengetahuan sejak awal secara bersepadu yang merangkumi aspek
intelektual, jasmani, rohani dan juga emosi, akhir sekali ia diharapkan agar
dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang sentiasa bersatupadu menggembleng
tenaga dalam memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
·
Keharmonian
dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Ini
boleh dikatakan matlamat akhir yang mahu dicapai oleh Falsafah Pendidikan
Negara iaitu dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan makmur
didalam
sebuah negara yang maju, tenteram serta moden. Dengan keharmonian dan
kemakmuran hasil pendidikan secara bersepadu, negara akan sentiasa terus pesat
membangun bersama masyarakatnya yang berakhlak mulia dan berkualiti.
3.0 Pendidikan Awal Kanak-Kanak
Kanak-kanak
hari ini adalah bakal pemimpin dan juga ahli masyarakat pada masa hadapan. Pendidikan
awal kanak-kanak adalah penting kerana ia memainkan peranan utama dalam usaha
memperkembangkan lagi potensi kanak-kanak bersesuaian dengan Falsafah
Pendidikan Negara yang bermatlamatkan menuju sebuah negara yang seimbang dan
harmoni.
Menurut
Jean-Jacques Rosseau, pendidikan ialah suatu proses yang berterusan dan bermula
sejak seseorang individu itu masih kecil. Selain itu, pendidikan juga merupakan
suatu hak asasi yang perlu diperolehi bagi setiap manusia. Pendidikan di
Malaysia, berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara, memberikan pendidikan
yang menyeluruh merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual.
Pendidikan seperti ini iaitu yang bersepadu, menurut Muhammad Qutb pula akan
cenderung mewujudkan keseimbangan dan keharmonian didalam diri setiap manusia.
Oleh
yang demikian, pelbagai program telah diwujudkan hasil kepekaan negara serta
masyarakat terhadap keperluan pendidikan yang perlu diberikan kepada
kanak-kanak sejak usia awal lagi. Program ini dirancang dan dilaksanakan agar
membolehkan kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang sesuai untuk pembentukan
peribadi dan perwatakan yang sempurna supaya di usia dewasa kelak dapat menjadi
warganegara Malaysia yang baik.
Antara
ciri-ciri yang ingin dicapai hasil daripada program pendidikan awal kanak-kanak
ini adalah seperti menghasilkan kanak-kanak yang cerdik dan pandai, yang
mempunyai akhlak dan budi pekerti yang tinggi dan baik, dan juga kanak-kanak
yang sihat dan cergas baik dari segi jasmani mahupun rohani. Ciri-ciri ini yang
sudah diterapkan di Malaysia hasil daripada penggubalan sistem yang akhirnya
diharapkan dapat menghasilkan masyarakat yang seimbang dan harmoni bagi
menjamin ketenteraman negara.
4.0 Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak
di Malaysia Dan Beberapa Kritik Keatasnya.
Mengikut
sejarah, pendidikan prasekolah secara berinstitusi bermula di Malaysia pada
tahun 1950an. Sebelum itu, permintaan bagi mewujudkan institusi pendidikan
prasekolah diwujudkan bersamaan dengan pembukaan ladang-ladang getah dan
kawasan perlombongan semasa pemerintahan kolonial British. Sesetengah pendapat
telah mengatakan bahawa pembukaan institusi pendidikan awal kanak-kanak pada
waktu itu adalah untuk menyediakan
kanak-kanak itu dengan pengetahuan asas seperti membaca, mengira, dan
menulis supaya dapat bekerja dikawasan ladang dan perlombongan dibawah
pemerintahan British. (Wan Mohd Nor Wan Daud, 1997).
Satu perubahan berlaku pada tahun 1969 apabila
Yayasan Asia telah menyumbangkan peruntukan kewangan kepada pertubuhan pekerja
Malaysia bagi membiayai penubuhan model institusi prasekolah yang mirip kepada
projek "Headstart" di Amerika. Kampung Muniandy, Kampung Manggis dan
Kampung Sentosa di Selangor dipilih dan sasarannya pada kanak-kanak dari
golongan yang kurang berada daripada keturunan Melayu, Cina dan India. Kajian
yang dijalankan di Amerika menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menghadiri
projek Headstart telah mencapai tahap
pelajaran dan sikap yang lebih baik untuk jangka masa yang panjang dibandingkan
dengan pelajar yang tidak menghadirinya. Hasil daripada kajian dilaporkan
terdapat korelasi positif diantara kehadiran di tadika dengan pencapaian
prestasi kanak-kanak apabila masuk ke tahap sekolah rendah.
Melalui
Akta Pendidikan 1996, program pendidikan prasekolah telah dimartabatkan sebagai
satu Sistem Pendidikan Kebangsaan. Dengan pemartabatan ini juga ia menunjukkan
bahawa program pendidikan prasekolah merupakan satu usaha nasional yang perlu
difikirkan oleh semua pihak secara bersama. Biarpun kepentingan terhadap
pendidikan prasekolah atau pendidikan awal kanak-kanak telah diketahui penting
secara umumnya. Namun begitu, masih terdapat banyak lagi halangan yang harus
ditempuhi untuk menuju ke tahap kesempurnaannya. Masih wujud lagi segelintir
ibubapa, guru, mahupun agensi kerajaan yang belum mampu untuk memahami secara tuntas
kepentingan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti harus diberikan kepada
mereka. Contoh yang terdekat adalah permasalahan yang timbul akibat kurangnya
persefahaman antara guru di sekolah elementari dan guru di prasekolah.
Memang
tidak dinafikan bahawa guru besar dan penolong kanan tidaklah diharapkan untuk
memberi perhatian atau sokongan yang lebih kepada kelas-kelas prasekolah
berbanding kelas di gred yang lain.
Namun apa yang diperlukan dan diharapkan kepada guru besar dan juga penolong
kanan di sekolah sepatutnya mereka harus mempunyai pengetahuan yang mendalam
mengenai program prasekolah sama seperti pengetahuan yang mereka ada tentang
kelas elementari.
Akibat
kurangnya pengetahuan dan juga perhatian yang diberikan, pendidikan yang
diberikan di prasekolah amat jarang mendapat kesinambungan yang
memberangsangkan apabila kanak-kanak memasuki ke persekolahan di tahun satu.
Hal ini ternyata merupakan satu kerugian besar buat pendidikan di negara kita.
Apabila
di alam persekolahan telah timbulnya tidak kesefahaman antara para guru
elementari dan juga prasekolah, efeknya nya juga turut dirasa oleh para
ibubapa. Telah terdapat ibubapa di negara kita yang berpendapat bahawa
pendidikan awal kanak-kanak yang diberikan melalui institusi seperti tadika
adalah membazir semata-mata. Pendapat ibubapa seperti ini bukanlah salah dan
juga bukanlah benar kesemuanya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa adalah
suatu fakta dapat ditunjukkan biarpun terdapat ibubapa tidak menghantar
anak-anak ke sekolah tadika namun ia tidak merencatkan perkembangan anak-anak
mereka ke tahap yang baik sebanding dengan para ibubapa yang menghantar
anak-anak ke sekolah tadika.
Namun
begitu, kita juga tak dapat menafikan bahawa dengan menghantar anak-anak ke
tadika, perkembangan kanak-kanak dapat dilakukan dengan sistematik berlandaskan
sistem pendidikan yang teratur yang digunakan didalam silibus pendidikan di
sekolah. Hal ini hakikatnya bergantung kepada kualiti pendidikan yang diberikan
oleh guru mahupun ibubapa yang memilih samaada untuk menyekolahkan anak mereka
di sekolah ataupun dengan memilih pendekatan “homeschooling” iaitu di rumah.
Begitu
juga terhadap sesetengah agensi kerajaan yang lebih memikirkan untuk memberikan
pendidikan demi melegitimasikan lagi idealogi negara berbanding untuk
menyerapkan kanak-kanak dengan pengetahuan murni supaya dapat menjadi manusia
yang bermandiri di dewasa kelak. Pendidikan yang sepatutnya diberikan untuk
memproduksikan struktur sosial yang baru telah dinafikan sebaliknya hanya
difokuskan untuk mere-produksikan struktur sosial yang ada. Menurut Ivan Illich
didalam karyanya yang terkenal iaitu Deschooling Society menyatakan bahawa
“Anak yang bersekolah tidak semestinya anak yang berpendidikan”. Sekolah pada
hari ini hanyalah perpanjangan daripada sistem negara atau idealogi negara yang
dipaksakan. (Shaharom TM Sulaiman, 2004).
Anak-anak
diajar atau dididik demi memenuhi acuan idealogi yang ditetapkan. Untuk
anak-anak yang berjaya akan ditempatkan di sektor pekerjaan yang mendapat
ganjaran yang sedikit menguntungkan, manakala buat anak-anak yang “gagal”, akan
menerima nasib yang buruk iaitu dilahirkan untuk bekerja keras mengikut sistem
yang diterima secara umum oleh masyarakat. Kedua-duanya pada hakikatnya adalah
sama iaitu dilahirkan sebagai “buruh” demi menguntungkan perut kaum kapitalis
iaitu kaum elit di atas. Perkara ini bertentangan dengan pendapat bahawa
pendidikan adalah dilakukan seumur hidup yang disarankan oleh Jean Jacques
Rosseau.
Namun
begitu, Pendidikan Awal Kanak-Kanak atau prasekolah tentu saja memberikan
peranan yang besar dalam menentukan segala pencapaian dan kemajuan yang
dikecapi oleh negara pada zaman kini. Pendidikan masih lagi dipercayai sebagai
agen pengubah taraf sosial yang paling berkesan dan telah dibuktikan berjaya hampir
di seluruh dunia. Telah terdapat pelbagai model pendekatan pendidikan awal
kanak-kanak diwujudkan diatas kepercayaan itu antaranya seperti Head Start, Bank
Street dan juga Reggio Emilia.
4.1 Program Head Start
Program
model pembelajaran Head Start mula diperkenalkan pada tahun 1964 dibawah Head
Start Bureau dan disokong oleh Admin for Children and families. Program ini
bertujuan untuk membantu kanak-kanak yang terdiri daripada golongan kurang
bernasib baik seperti golongan miskin dan yang berpendapatan rendah. Dengan
bermatlamatkan demi membantu membasmi kemiskinan melalui memberi pendidikan,
program Head Start memberi pendidikan kepada kanak-kanak di peringkat bayi dan
pra-sekolah di antara umur 4-5 tahun.
Di
dalam program Head Start, teori pembelajaran yang digunakan adalah teori
perkembangan atau juga dikenali sebagai teori behaviouris. Ini dapat dibuktikan
apabila kanak-kanak yang mengikuti program ini telah menunjukkan prestasi yang
cemerlang didalam akademik apabila telah melangkah ke dalam alam persekolahan
darjah satu. Antara komponen penting di dalam program Head Start adalah
pendidikan, kesihatan, penglibatan ibubapa, dan perkhidmatan sosial.
4.2 Program Bank Street
Program
Bank Street diperkembangkan oleh Sprague Mitchell, Carroline Pratt dan Harrier
Johnson. Ketiga tokoh atau pendiri program ini telah mewujudkan Play School
sebagai sekolah pengasuhan pertama di Amerika Syarikat. Dengan menjadikan kanak-kanak
sebagai pembelajar, pencuba, dan penjelajah yang aktif dalam model
pendekatannya, kanak-kanak didalam program Bank Street ini akan memperolehi
lebih banyak pelajaran melalui interaksi kanak-kanak itu sendiri bersama
lingkungannya. Menurut program Bank Street, perkembangan kanak-kanak tidak
terjadi secara terpisah tetapi adalah saling berhubungan.
Didalam
program Bank Street, seluruh aspek perkembangan kanak-kanak akan difokuskan
secara bersepadu. Antaranya selain pendidikan yang diberikan didalam ruang
bilik darjah, program Bank Street juga akan melibatkan kanak-kanak secara terus
dengan masyarakat sekeliling. Pendidikan seperti ini secara tidak langsung akan
melatih sikap empati kanak-kanak tersebut terhadap masyarakat sekelilingnya
berbanding pendidikan gaya lama yang hanya memfokuskan kepada hal akademik
sahaja.
Selain
itu juga, kurikulum didalam Bank Street telah direka melalui idea bahawa
kanak-kanak akan dapat belajar tentang alam sekitar dan dunia melalui apa yang
mereka temui akan memperkembangkan lagi daya kreativiti kanak-kanak. Oleh yang
demikian, matapelajaran seperti antropologi, sejarah, ilmu politik, ekonomi dan
ilmu bumi akan cuba diintegrasikan didalam aktiviti kelas dan diharapkan bakal
membuatkan kanak-kanak menjadi lebih kritis dalam menemukan makna akan dunia
disekelilingnya. Didalam program Bank Street, peranan guru adalah penting
supaya dapat menciptakan lingkungan pembelajaran yang aktif seperti itu. Guru
memainkan peranan yang penting untuk membangunkan suasana saling mempercayai
antara guru dan murid, dan juga memupuk sikap saling berkasih sayang sesama
murid.
Program
Bank Street adalah amat sesuai dijadikan model pembelajaran bagi perkembangan
awal kanak-kanak. Ini kerana dengan penekanan pembelajaran melalui permainan yang
penuh bermakna, konsep model Bank Street ini juga berperanan aktif dalam
memberikan kanak-kanak membina pemahaman yang positif tentang dunia melalui
interaksi secara terus dengan alam dan objek disekelilingnya.
4.3 Program Reggio Emilia
Dengan
berslogankan “Niente Senza Gioia” yang bererti “Tiada hari tanpa kegembiraan”,
pendekatan model Reggio Emilia menawarkan kegembiraan kepada kanak-kanak dalam
setiap proses pembelajarannya. Sejarah dan pendekatan program Reggio Emilia
adalah unik. Dicipta oleh Loris Malaguzzi dan beberapa rakannya di daerah
sekitar Reggio Emilia di bahagian utara Itali. Mereka berfikir bahawa pada awal
tahun perkembangan kanak-kanaklah sepatutnya diusahakan satu pendekatan untuk
membentuk diri kanak-kanak sebagai seorang individu.
Berangkat
daripada sini lalu diciptakan sebuah program yang berprinsip rasa hormat,
tanggungjawab dan kebersamaan diantara kanak-kanak dan orang dewasa yang
sentiasa suportif dalam usaha memperkayakan lagi minat kanak-kanak terhadap
penemuan dirinya agar mampu menjadi insan yang berguna. Oleh kerana itu, boleh
dirumuskan di dalam pendekatan Reggio Emilia bahawa kanak-kanak akan menjadi
lebih aktif serta lebih bijak sekiranya dapat belajar bersama dengan orang
dewasa dalam membangun pemahaman yang lebih luas tentang dunia.
Tidak
seperti disekolah lain yang banyak menghabiskan waktu didalam bilik darjah
sambil menyelesaikan tugas akademik, pendekatan Reggio Emilia pula banyak
menghabiskan waktu diluar seperti mengunjungi taman bunga sehinggalah ke
tempat-tempat yang menarik agar kanak-kanak dapat mengetahui banyak perkara
yang menarik di alam sekelilingnya. Oleh kerana itulah, boleh dikatakan
kurikulum di Reggio Emilia adalah tidak tersusun sebaliknya minat kanak-kanak
secara tiba-tiba juga boleh dijadikan sebagai kurikulum di Reggio Emilia.
Sebagai
contoh, apabila kelas mengusulkan untuk melawat ke taman bunga. Maka guru akan
mebawa kanak-kanak ini melawat ke taman bunga dan membiarkan kanak-kanak ini
bermain sepuas-puasnya bersama penjaga masing-masing. Di situ para guru akan
memainkan peranan penting dengan mulakan perancangan untuk berfikir serta
mereka aktiviti pembelajaran seperti menyarankan kanak-kanak melakukan mural
atau sebagainya setelah pulang daripada lawatan di taman bunga kelak.
Di
Reggio Emilia, proses adalah sama pentingnya dengan hasil. Malah boleh
dikatakan bahawa pendekatan Reggio Emilia ini lebih menekankan proses terlebih
dahulu sebelum mendapatkan hasilnya. Proses yang dilakukan pula lebih kepada
aktiviti yang menyeronokkan. Kanak-kanak melalui model ini akan diajar menjadi
seniman, saintis, ahli sejarah dan lain-lain demi mencungkil bakat serta kebijaksanaan
mereka. Mereka percaya bahawa ilmu pengetahuan boleh diajarkan tetapi apa yang
lebih penting adalah kebijaksanaan, dan kebijaksanaan tidak dapat datang
melalui pengajaran sebaliknya melalui pengalaman. Maka, peranan guru di Reggio Emilia adalah
sangat penting yang berperanan untuk mendengarkan, mengamati, dan juga memahami
strategi yang digunakan oleh kanak-kanak dalam pembelajaran.
Guru
di program Reggio Emilia ini juga perlu menjadi seseorang yang bijak mengajukan
persoalan dan sekaligus mampu merefleksikan respon untuk mengetahui bahan dan
idea yang digunakan untuk mengembangkan pemahaman kanak-kanak. Selain daripada
itu, guru di Reggio Emilia juga secara rutin harus membuat catatan serta
merakam segala aktiviti kanak-kanak dan seterusnya akan dibincangkan sesama
pihak guru, ibubapa dan para pemikir untuk ditemukan lagi pelbagai pendekatan
baru bagi memperkembangkan lagi potensi kanak-kanak.
5.0 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak
Didalam
Akta Kanak-Kanak 2001, secara umumnya kanak-kanak dapat didefinisikan sebagai
individu yang berumur di bawah 18 tahun. Di dalam akta tersebut kanak-kanak turut
diiktiraf tarafnya sama seperti orang dewasa agar dapat memperolehi hak serta
status sebagai manusia di atas muka bumi ini. Oleh kerana keadaan mereka yang
masih belum matang dan sukar untuk membuat keputusan dengan sendiri, maka Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak telah
diwujudkan atas dasar supaya orang dewasa dapat melindungi kanak-kanak daripada
anasir jahat serta perkara yang tidak baik terhadap golongan kecil ini.
Konvensyen
Mengenai Kanak-Kana mula diterima pakai pada Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa
Bersatu pada 20 November 1989 telah menuntut agar masyarakat terutama golongan
dewasa menjadi peka terhadap keperluan kanak-kanak dengan mewujudkan
persekitaran yang harmoni dan penyayang. Selain itu, konvensyen ini juga telah
menggariskan beberapa hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina,
agama, bangsa dan kefahaman serta perbezaan diantara mereka. Antara hak yang
terkandung didalam konvensyen ini adalah seperti hak untuk kanak-kanak memiliki
kehidupan yang harmoni, hak untuk memperolehi perkembangan, hak untuk perlindungan
dan juga hak untuk mendapatkan penyertaan didalam masyarakat.
Berdasarkan
kepercayaan bahawa generasi baru iaitu kanak-kanak dapat memberi harapan baru
kepada umat manusia. Kanak-kanak diseluruh dunia akan dilindungi daripada
bahaya, eksploitasi dan diberikan
peluang dalam segala hal yang mengaitkan mereka supaya dapat membesar dengan
baik. Sekiranya matlamat kewujudan Konvensyen Mengenai Kanak-kanak ini dapat
berjalan secara lancar, maka dengan keadaan seperti ini akan wujudlah suatu
hari nanti suatu masyarakat yang adil yang diharap-harapkan oleh seluruh umat
manusia di seluruh dunia pada masa hadapan.
Bibliografi
1) Sivachandralingam
Sundara Raja (2001). Tamadun dunia. Shah Alam : Fajar Bakti.
2) Mok
Soon Sang (1993). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.
3) Ee
Ah Meng (1994). Sekolah dan bilik darjah. Kuala Lumpur : Fajar Bakti.
4) Wan
Mohd. Nor Wand Daud (1997). Penjelasan budaya ilmu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka.
5) Shaharom
TM Sulaiman (2004). Kedurjanaan siber 2. Kuala Lumpur : Utusan Publication
& Distributors.
No comments:
Post a Comment