Tuesday 23 October 2012

Assignment bahasa melayu (Semester 1)


1.0 Pengenalan

Bahasa melayu telah disebut sebagai bahasa kebangsaan yang wajib dijadikan sebagai bahasa perantaraan di negara kita. Bertitiktolak daripada perkara ini, kerajaan telah menggubal satu dasar dimana satu pendidikan khusus diwajibkan demi perlaksanaan penggunaan bahasa melayu iaitu melalui proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Mengikut sejarah sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, sistem pendidikan kita telah mengamalkan sistem empat aliran bahasa pengantar iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil di setiap sekolah masing-masing. Kebaikan yang dapat diperolehi melalui sistem pendidikan seperti ini adalah setiap kaum atau bangsa tertentu itu dapat mempelajari ilmu pengetahuan melalui bahasa ibundanya sendiri. Namun begitu, sistem pendidikan seperti ini akan menjarakkan pula hubungan erat antara kaum di negara yang kita yang berbilang bangsa. Ini kerana tiadanya bahasa keseragaman yang boleh dijadikan bahasa komunikasi agar masyarakat yang berbilang bangsa ini supaya saling mengenal. (Awang Mohamad Amin, 1990).

Maka, bertolak daripada kebimbangan ini, kerajaan telah merancang untuk perlunya diwujudkan satu bahasa kebersamaan yang boleh dijadikan satu asas kepada perpaduan kaum. Oleh itu, bahasa melayu telah digantikan menjadi bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Seiring dengan perubahan zaman, bahasa melayu yang lahir melalui sejarahnya yang unik serta kaya dengan perbendaharaan kata ini wajar diperkukuhkan lagi agar warisannya dapat diteruskan. Apatah lagi dengan dasar yang telah digubal oleh kerajaan Malaysia ini secara tidak langsung menuntut agar para pendidik dapat memperkayakan diri dengan pelbagai kemahiran atau teknik pengajaran supaya subjek bahasa melayu dapat diajar dengan berkesan.

Melalui aplikasi kemahiran pengajaran yang betul, usaha para pendidik bukan sahaja akan dapat dilaksanakan malahan dapat diaplikasikan dalam pengajarannya samaada secara formal mahupun informal. Oleh itu, tugasan ini dilakukan bagi menggariskan beberapa aplikasi kemahiran pengajaran yang mungkin dapat dijadikan sebagai suatu panduan bagi para pendidik dalam usaha pengukuhan bahasa melayu di negara kita.

2.0 Falsafah kemahiran pengajaran.

Jean Jacques Rosseau, seorang ahli falsafah dari Perancis menyatakan definisi pendidikan adalah suatu proses yang berterusan bermula daripada kanak kanak sehinggalah usia dewasa. (Mok Soon Sang, 1988). Ini membawa maksud pendidikan adalah suatu proses penerimaan ilmu pengetahuan yang tidak berpenghujung, tidak kaku dan akan terus diperkembangkan serta dapat dihubungkaitkan dengan pengalaman hidup setiap manusia secara individu mahupun masyarakat.

Berbeza dengan definisi pendidikan, umumnya kemahiran pengajaran mudah difahami sebagai usaha seorang pendidik dalam pemindahan maklumat daripada subjek (guru) kepada objek (anak murid) ataupun mengikut istilah Paulo Freire sebagai “pendidikan gaya bank” (Freire, 1970). Mungkin kerana pendidikan pada zaman ini yang berorientasikan kepada pencapaian peperiksaan dan juga bagi memenuhi keperluan industri, maka para pendidik  biasanya menjalankan tugas mendidik dengan hanya mengikut silibus yang ditetapkan tanpa menitikberatkan aspek penyuburan akal fikiran. Akibat yang terhasil daripada pengajaran seperti ini adalah akal manusia akan kehilangan kemahiran berfikir dalam menjalani kehidupannya.

Sebaliknya pengajaran seperti ini yang memiliki ciri-ciri seperti 1) Guru mengajar dan murid diajar. 2) Guru mengetahui segalanya, dan murid tidak mengetahui apa-apa. 3) Guru berbicara, dan murid mendengarkan dengan penuh ketekunan. 4) Guru memilih dan melaksanakan pilihannya, sedangkan murid hanya menurut dan menyesuaikan diri akan menghasilkan manusia berdimensi satu yang hidupnya untuk melestarikan sistem yang sama agar sentiasa berulang-ulang (Marcuse,1970). Ringkasnya, anak murid diajar bukan untuk menjadi manusia yang produktif, sebaliknya menjadi re-produktif demi melestarikan sistem yang sama.  Jelas gaya pendidikan seperti ini bertentangan dengan pendidikan seumur hidup yang disarankan oleh Rosseau.

Oleh itu, seorang pendidik yang ideal adalah seseorang yang memiliki ciri-ciri yang mampu menjadi agen kepada pembelajaran yang edukatif, iaitu memiliki kemahiran pengajaran yang dapat menjadi fasilitator kepada anak muridnya , motivator, pemacu dan pencetus idea, dan yang paling penting sekali dapat menjadi inspirasi kepada anak murid dalam hal pembelajaran terutama sekali bagi membentuk sikap membudayakan ilmu dikalangan muridnya. (Nuryatno, 2008). Apatah lagi di dalam kelas, iaitu tempat anak murid dan juga para pendidik mencanai idea dan fikrah demi menghasilkan pengetahuan yang baru.

3.0 Masalah kajian terhadap penggunaan bahasa melayu.

Negara kita telah melaksanakan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah bermula daripada sekolah rendah sehingga ke tahap sekolah menengah. Proses pembelajaran melalui perantaraan bahasa melayu yang mengambil masa bertahun-tahun ini sepatutnya dapat menghasilkan anak murid (warganegara) yang celik dalam bahasa. Ia boleh dikatakan telah terlaksana apabila melalui laporan akhbar, saban tahun dapat dilihat bahawa keputusan peperiksaan di negara kita telah mencatatkan keputusan yang memberangsangkan dalam ujian bahasa melayu.

Ironinya yang berlaku adalah apabila dilakukan perbandingan kepada penggunaan bahasa melayu dikalangan rakyat Malaysia, nyata tanggapan kita terhadap pengukuhan bahasa melayu di negara ini jauh meleset. Bahasa rojak diamalkan secara berleluasa malah ada pula yang lebih selesa menggunakan bahasa asing sebagai bahasa komunikasi harian. (Said Darkasi, 2012). Sektor pekerjaan memburukkan lagi keadaan ini apabila kebanyakkan organisasi mewajibkan pemohon agar fasih di dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa melayu atau bahasa ibunda yang lain. Pendek kata, bahasa melayu ibarat tidak diketahui halatujunya.

Oleh kerana inilah maka biarpun ruang pendidikan kita mewajibkan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar, namun realitinya bahasa yang praktikal digunakan lebih diutamakan kepada bahasa asing terutamanya Inggeris. Ini telah membuatkan kita sebagai warganegara menjadi keliru. Persoalannya, apakah perlu lagi bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah (ruang pendidikan) atau ditukarkan saja terus kepada bahasa Inggeris yang lebih berfungsi didalam dunia pasaran?

4.0 Faktor halangan dalam pengukuhan bahasa melayu.

Banyak faktor yang boleh difikirkan antara menjadi sebab mengapa pengukuhan bahasa melayu sukar dilakukan. Halangan ini mungkin berpunca daripada faktor ekonomi, masyarakat serta sikap kita sendiri yang memilih untuk menolak usaha memartabatkan bahasa melayu.

4.1 Realiti bahasa melayu yang bukan bahasa ekonomi di Malaysia.

Ekonomi merupakan faktor terbesar yang mempengaruhi kehidupan sosial, politik, kebudayaan dan lain-lain. Dapat dilihat melalui sejarah, apabila Tanah Melayu pada suatu masa dahulu yang  menjadi kuasa besar perdagangan, bahasa melayu telah menjadi bahasa linguafranca dan telah dipertuturkan hampir seluruh dunia. Berbanding dengan hari ini, tidak dapat dinafikan lagi bahawa bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin telah mendapat tempat menggantikan bahasa melayu sebagai bahasa ekonomi.

Oleh itu saban hari dapat dilihat, biarpun kerajaan Malaysia telah menjalankan pelbagai promosi untuk membudayakan bahasa melayu, namun usaha itu menemui jalan buntu. Antaranya seperti menyediakan papan tanda untuk menggalakkan penggunaan bahasa melayu, promosi melalui iklan di televisyen, mewujudkan pelbagai kempen, namun hasilnya tetap sama, bahasa melayu terus diperlecehkan. Sebaliknya, penggunaan bahasa Inggeris telah menjadi satu bahasa wajib untuk dipelajari dan dipertuturkan bagi masyarakat agar mendapat tempat di dalam dunia pekerjaan.

4.2 Penyakit “anglophile”.

Penyakit “anglophile” dapat didefinisikan sebagai penyakit rendah diri akibat terlalu memandang tinggi kepada bangsa Eropah atau disini boleh juga dikaitkan dengan suatu bangsa yang lebih kuat. Akibat daripada perasaan rendah diri ini ialah kita akan berasa terus bergantung dengan bangsa yang lebih kuat itu. Penyakit ini boleh dikatakan berpunca daripada kurangnya pendedahan atau eksperimen bangsa itu kepada jatidiri negaranya. Perkara ini dapat dilihat berlaku di negara kita sekiranya dibuat perbandingan dengan negara seperti Jepun, Korea, malahan Indonesia, yang berbangga menggunakan bahasa ibundanya dalam urusan rasmi samada urusan hal ehwal dalam negeri mahupun urusan luar negara.

Negara mereka juga menggalakkan usaha penterjemahan buku dan hasil daripada kegiatan penterjemahan ini, rakyatnya tidak terlalu bergantung dengan bahasa asing dalam mendapatkan akses kepada ilmu pengetahuan. Hal penterjemahan buku ini penting kerana, dengan buku yang terbatas akibat daripada kurangnya bahan pembacaan dalam bahasa melayu, ketekunan seorang pelajar dalam membaca hanya menghasilkan kemajuan yang kecil. Oleh kerana kurangnya negara melakukan usaha penterjamahan buku ini juga, kita masih lagi akan ketinggalan dibelakang berbanding bangsa lain terutama sekali bangsa Barat dalam hal ilmu pengetahuan dan impaknya kepada kita adalah kita akan terus membanggakan lagi bangsa lain dan akan terus memperlecehkan penggunaan bahasa melayu.

4.3 Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan dan juga hafalan.

Dalam budaya peperiksaan, para pelajar memang giat untuk belajar. Tetapi masalahnya, mereka belajar bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari, sebaliknya hanya untuk menghafalnya agar cukup masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan. (Wan Mohd Nor Wan Daud, 1997).

Oleh kerana itu, akibat sikap seperti ini, pengukuhan bahasa melayu dikalangan masyarakat khususnya para pelajar amat sukar untuk dilakukan. Biarpun pengajaran bahasa melayu dilakukan sejak sekolah rendah lagi, namun kerana sistem pendidikan yang lebih berorientasikan kepada peperiksaan dan penghafalan, usaha para pendidik untuk mengukuhkan bahasa melayu dikalangan para pelajar akan menemui jalan yang sia-sia. Ini kerana masyarakat khususnya para pelajar telah diajar secara tidak langsung agar pembelajaran itu hanyalah sekadar untuk mendapatkan gred terbaik dalam peperiksaan bukannya untuk diaplikasikan dalam kehidupan.    

Tidak melebih-lebih pula sekiranya saya berpendapat bahawa tugas memartabatkan bahasa melayu di negara ini bukan terletak kesemuanya di bahu pendidik, sebaliknya sebahagiannya sudah terletak di bahu pekerja pembantu rumah Indonesia. Ini kerana, pembantu rumah Indonesia ini yang diupah untuk menjaga anak tuannya yang mungkin berbangsa Cina (atau yang bukan berbangsa melayu) dalam masa yang sama mendidik anak majikannya untuk berkomunikasi didalam bahasa melayu.

5.0 Aplikasi kemahiran pengajaran dalam pengukuhan bahasa melayu.

Seperti dinyatakan diatas, terdapat pelbagai faktor dan halangan yang menyukarkan pengukuhan bahasa melayu di negara kita. Oleh itu, wajib kita sedar bahawa tugas ini tidak wajar sekiranya diletakkan seratus peratus kepada para pendidik. Namun, siapa lagi yang perlu diharapkan sekiranya bukan seorang guru atau pendidik untuk melatih diri, melatih anak murid, sekaligus melatih masyarakat untuk mengukuhkan lagi penggunaan bahasa melayu di negara ini. Maka,  beberapa aplikasi kemahiran pengajaran telah dikenalpasti dalam usaha pengukuhan bahasa melayu di negara ini.

5.1 Menggalakkan pemikiran kritis dalam pembelajaran.

Corak utama pengajaran yang sering diabaikan oleh pendidik pada hari ini adalah untuk mengajak anak murid supaya dapat memikirkan bersama isu pembelajaran yang dijalankan. Dengan menggalakkan pemikiran dalam pembelajaran ataupun dengan bahasa mudahnya sebagai mengajar dalam bentuk perbincangan, pembelajaran atau pengajaran bentuk ini boleh menimbulkan suatu keghairahan kepada suasana pembelajaran yang lebih efektif.

Berbeza dengan pengajaran yang berbentuk sehala iaitu dengan hanya memberi ilmu pengetahuan secara bulat-bulat kepada pelajar, pengajaran seperti ini akan meninggalkan kesan yang lebih lama di dalam akal seorang pelajar. Ia amat penting terutama sekali dalam bidang bahasa melayu yang memiliki susur galur sejarah kewujudannya yang unik. Dengan kefahaman yang mendalam barulah terbit rasa cinta dan hormat kepada bahasa melayu didalam diri para pelajar dan juga gurunya. Seperti kata pepatah, “Tidak kenal, maka tidak cinta”.

Oleh yang demikian, pembelajaran bahasa melayu bukan hanya sekadar untuk mengetahui serba sedikit tentang peribahasa, tatabahasa, kosa kata dan sebagainya. Sebaliknya ia perlu merangkumi tafsiran mendalam tentang sejarah, tokoh-tokoh yang memberi sumbangan besar terhadap usaha memartabatkan bahasa melayu, wacana pemikiran dan sebagainya. Tanpa perbincangan dan renungan yang mendalam, pembelajaran bahasa melayu hanya akan berkisar dan mencakupi hal luarannya sahaja. Maka bukanlah hal yang menghairankan sekiranya sehingga ke hari ini, bangsa melayu sendiripun tidak berbangga untuk berkomunikasi di dalam bahasa ibundanya. Ini kerana bangsa itu sendiri tidak mengetahui sejarah bangsanya sendiri.

5.2 Mewujudkan subjek  falsafah dan sastera dalam silibus pengajaran bahasa melayu.

Mewujudkan subjek falsafah disini bukan bermaksud untuk mengajak anak murid supaya menjadi seorang ahli falsafah. Sebaliknya ia untuk mengajak anak murid, termasuk para pendidik supaya dapat mewujudkan kemahiran berfikir yang kritis dan seterusnya dapat mempengaruhi suasana pembelajaran yang lebih efektif.  

Seperti dinyatakan di atas, didalam subjek bahasa melayu, penglibatan anak murid adalah sesuatu yang amat dititikberatkan. Dengan penerapan subjek falsafah, ia akan amat membantu mewujudkan keadaan seperti itu.  Falsafah yang berasal dari gabungan dua perkataan Yunani iaitu, philo ertinya “cinta” dan Sophia ertianya “kebijaksanaan” akan menjadikan anak murid lebih cinta akan ilmu pengetahuan (kebijaksanaan). (Mohamed Ayob, 2012). Bagi memenuhi kepuasan intelektualnya, anak murid akan sentiasa bertanya tanpa perlu diminta. Dalam pengajian matapelajaran bahasa melayu, ia memerlukan situasi kelas seperti itu, iaitu situasi pembelajaran yang aktif dan kondusif.  Keadaan ini bukan sahaja akan memberi kelebihan dalam mempengaruhi kelas yang lebih efektif malah ia sekaligus dapat menggantikan sistem lama pendidikan yang hanya berorientasikan pada peperiksaan yang terbukti gagal dalam mengukuhkan penggunaan bahasa melayu di Malaysia.

Tidak ketinggalan juga dengan matapelajaran sastera. Dalam usaha pengukuhan bahasa melayu, matapelajaran sastera difikirkan boleh mengajar anak murid untuk mengenal bahasa melayu dengan lebih dekat. Usaha memperkenalkan tokoh seperti Abdullah Munsyi, Pendeta Zaba, Burhanudin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad boleh dilakukan melalui perantaraan matapelajaran ini.  Pengenalan anak murid kepada tokoh yang memartabatkan bahasa melayu ini penting kerana masyarakat hari ini tidak pernah diberikan pendedahan yang memberangsangkan tentang tokoh tersebut. Bagaimana masyarakat hari ini dapat meletakkan bahasa melayu di tahap yang tinggi jikalau masyarakat kita hidup dan belajar tanpa kesedaran sejarah dan idealisme yang tinggi?

5.3 Mempelbagaikan teknik pengajaran yang dapat mencetus minat pembelajaran.

Pendekatan pengajaran secara umum diketahui terbahagi kepada dua pendekatan iaitu pendekatan secara “teacher-centered” dan “student-centered”.  Manakala pendekatan pembelajaran pula dapat diertikan sebagai titik tolak atau sudut pandang kita terhadap proses pembelajaran yang dapat menginspirasi serta menguatkan teori pengajaran. (Asmah, 2012)

Secara ringkasnya, teknik pengajaran yang sesuai adalah perlu untuk seorang pengajar dapat menyampaikan atau berkongsi ilmunya dengan para pelajar. Teknik pengajaran ini perlu dipelbagaikan mengikut kesesuaian agar suasana pembelajaran yang efektif dapat diwujudkan. Tanpa pembelajaran yang efektif ini pula akan mengakibatkan suasana kelas seolah-olah hanya menjadi seperti sebuah kilang yang bertujuan menghasilkan pekerja di masa hadapan. Hal ini amat merugikan kerana sepatutnya sekolah (universiti) bertujuan untuk melahirkan ilmuwan.

Realitinya inilah yang sedang berlaku kepada sistem pendidikan kita pada hari ini. Pendidik yang tidak kreatif yang terhasil daripada sistem pendidikan lama yang mementingkan pendidikan satu hala serta hanya mengikut silibus akan meneruskan lagi legasinya kepada generasi seterusnya. Inilah juga antara sebab yang difikirkan mengapa usaha pengukuhan bahasa melayu amat sukar dilakukan. Tenaga pengajar jarang dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan seterusnya mengakibatkan anak murid menerima sahaja pembelajaran secara bulat-bulat tanpa berani mempersoalkannya.

Oleh itu, model pembelajaran yang tepat perlu dilakukan dalam usaha untuk pengukuhan bahasa melayu. Antaranya seperti model pembelajaran yang  tertera di gambarajah dibawah. Model ini boleh dijadikan panduan ringkas serta dapat disesuaikan mengikut keadaan dalam usaha mewujudkan suasana pembelajaran yang boleh dipelbagaikan.




                                                Gambarajah  Model pembelajaran


6.0 Penutup

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha untuk mengukuhkan bahasa melayu bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia memerlukan kerjasama setiap warga untuk bersama-sama membentuk sikap mencintai bahasa. Tanpa sikap ini, usaha demi pengukuhan bahasa melayu amatlah sukar untuk dilaksanakan.

Pandangan hidup (world view) yang tepat perlu difikirkan dengan segera oleh para pemikir serta pencinta bahasa di negara kita. Ini perlu dilakukan agar kekeliruan yang timbul dengan masadepan serta halatuju bahasa melayu di negara kita segera terjawab. Antaranya persoalan bagi mengatasi permasalahan penggunaan bahasa rojak di Malaysia, penggunaan bahasa melayu yang tidak lagi menjadi bahasa keutamaan di sektor pekerjaan dan sebagainya.

Para pendidik pula disarankan agar dapat mengajar subjek pelajaran bahasa Melayu dengan penuh kejiwaan. Pengajaran bentuk lama seperti hanya memfokuskan kepada silibus harus ditinggalkan sama sekali. Subjek bahasa melayu bukan seperti subjek matematik yang hanya memikirkan tentang hal logik dan dapat dilakukan dengan latih tubi. Sebaliknya bahasa melayu melibatkan unsur falsafah serta pemahaman sejarahnya yang tersendiri.

Akhir sekali kerajaan juga perlu memikirkan semula Falsafah Pendidikan Negara yang digubal sejak dahulu dan telah digunapakai sehingga ke hari ini. Penambahbaikan perlu dilakukan dengan mengisi beberapa elemen yang bersesuaian mengikut peredaran zaman. Antaranya dengan meletakkan unsur pembudayaan ilmu agar membolehkan Falsafah Pendidikan Negara dapat melahirkan masyarakat yang menjadikan ilmu sebagai kecintaannya. Dengan kecintaan terhadap ilmu yang tulen sahajalah maka kecintaan terhadap bahasa dapat diwujudkan seterusnya dapat mencerminkan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa”.

 Bibliografi

1)      Mok Soon Sang (1993). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.
2)      Freire, Paulo (1970). Pedagogi kaum tertindas. Kuala Lumpur : Forum.
3)      Marcuse, Herbert (1964). One dimensional man : Studies in the idealogy of advanced industrial society. London : Routledge & Kegan Paul.
4)      Wan Mohd Nor Wan Daud (1997). Penjelasan budaya ilmu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
5)      Nuryatno, M. Agus (2008). Mazhab pendidikan kritis. Yogyakarta : Resist Book.
6)      Said Darkasi (2012). Nota kuliah bahasa melayu. Selangor : Unisel.
7)      Asmah Ahmad (2012). Nota kuliah strategi dan kemahiran pengajaran dan pembelajaran. Selangor : Unisel.
8)      Mohamed Ayob Haji Sukani (2012). Nota kuliah falsafah dan pendidikan awal kanak-kanak. Selangor : Unisel.



1 comment:

  1. menarik dan boleh dijadikan sebagai bahan rujukan bagi pelajar yang belum tahu cara menyediakan assignment mereka terutama sekali bagi mereka yang baru bergelar sebagai pelajar university. Terima kasih..

    ReplyDelete